Cari @ Amanz

Di dalam acara khas yang berlangsung pagi ini, Samsung berkongsi punca letupan yang melanda peranti Galaxy Note 7 mereka. Seperti maklumat yang tertiris beberapa hari yang lalu, rekaan pada bateri dipersalahkan ke atas masalah yang melanda. Kecacatan rekaan ditemui pada kedua-dua bateri yang dihasilkan oleh Samsung SDI dan pengeluar kedua ATL.

Pada  bateri keluaran Samsung SDI, elektrod didapati membengkok kerana kesilapan ketika pengilangan dan pemasangan. Elektrod positif dan negatif di dalam bateri yang membengkok akhirnya bertemu menyebabkan letupan berlaku. Ini boleh dilihat di dalam gambar di atas.

Masalah elektrod membengkok tidak ditemui pada bateri keluaran ATL tetapi masalah pengilangan baru pula ditemui. Pada bateri ATL pateri yang tidak sekata, penebat yang tidak dipasang dengan tepat serta ruang antara penebat yang terlalu nipis adalah faktor yang menyebabkan kegagalan pada bateri menjurus kepada letupan.

Samsung menggunakan khidmat tiga makmal bebas (UL, Exponent dan Global TUV Rheinland ) untuk mencari punca letupan. Ketiga-tiga makmal ini dan makmal ujian Samsung muncul dengan keputusan yang sama untuk punca letupan kedua-dua bateri.

Bagi mengelakkan kejadian letupan ini berulang, Samsung menubuhkan kumpulan penasihat bateri yang terdiri daripada empat orang pakar dari Universiti Cambridge, UC Berkeley dan Stanford bagi menyemak rekaan bateri keluaran mereka di masa hadapan. Setiap bateri yang digunakan pada peranti Samsung juga akan menjalani ujian lapan langkah sebelum digunakan. Antara ujian yang dilakukan ialah X-Ray dan penyelaku penggunaan peranti berterusan selama dua minggu. Dengan langkah yang diambil ini Samsung berharap pengguna akan kembali yakin untuk menggunakan peranti-peranti keluaran mereka di masa hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd