Samsung Akan Kekal Menggunakan Jenama Galaxy Note

Samsung Akan Kekal Menggunakan Jenama Galaxy Note

Diterbitkan pada Jan 24, 2017 oleh .

Dengan kemelut Galaxy Note 7 sejak daripada tahun lepas, pelbagai spekulasi telah hadir – malah ada yag mengatakan jenama Galaxy Note mungkin akan ditamatkan. Kini, Samsung selain berkongsi mengenai punca peranti berkenaan meletup, mereka juga melalui temuramah khas mengesahkan Galaxy Note 8 akan hadir pada tahun 2017 ini.

Seperti ramai sedia maklum, Galaxy Note mempunyai peminatnya tersendiri – disebabkan oleh sokongan stylus, selain skrin yang bersaiz besar. Malah, sehingga kini Samsung mengatakan sebanyak 96% peranti Note 7 telah dipulangkan oleh pengguna, dan masih terdapat sekitar 4% yang masih belum dipulangkan lagi.

Keluarga peranti Galaxy Note sering dipasarkan sekitar bulan Ogos atau September, dan mungkin kita boleh menyasarkan perkara sama pada tahun ini – atau mungkin lewat sebulan dua memandangkan Galaxy S8 yang disasarkan hadir pada bulan April kelak.

Dengan pengumuman ini, Samsung semestinya mempunyai lebih tugasan dalam memasarkan jenama dan peranti baru mereka kelak – apatah lagi dengan pelbagai pengumuman yang dilakukan di lapangan terbang dan sebagainya yang melibatkan jenama Galaxy Note. Samsung sedia mengatakan mereka telah mula menggunakan kaedah semakan 8-titik untuk bateri dalam memastikan peranti mereka selamat, dan telah mula diguna-pakai selepas kemelut Galaxy Note 7 tempoh hari. Apa pun, dalam urusan pemasaran, mereka semestinya akan menghadapi cabaran hebat selepas ini.


TIPS & ULASAN