Tablet Berasaskan Chrome OS Bakal Hadir Daripada Rakan Kerjasama Google

Tablet Berasaskan Chrome OS Bakal Hadir Daripada Rakan Kerjasama Google

Diterbitkan pada Jan 25, 2017 oleh .

Google hari ini melalui laman blog mereka berkongsi beberapa kemaskini berkaitan Chromebook. Dan menariknya, salah satu perkara yang mencuri perhatian ramai adalah Google mengatakan kelak bukan sahaja peranti 2-dalam-1 berasaskan Chrome OS akan berada di pasaran, tetapi juga tablet berasaskan sistem operasi berkenaan.

Bagi yang tidak mengenali akan Chrome OS, ia merupakan sistem operasi berasaskan pelayar web daripada Google – memfokuskan kepada peranti dengan akses kepada internet, dimana pengguna boleh melakukan pelbagai tugasan melalui perkhidmatan seperti G Suite, atau pelbagai aplikasi berasaskan web.

Selain hanya aplikasi berasaskan web, pihak Google turut telah mengumumkan baru-baru ini yang mana semua peranti Chrome OS baru akan menyokong aplikasi Android. Ini secara tidak langsung akan turut memperlihatkan sokongan aplikasi Android pada tablet Chrome OS kelak.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah tablet Chrome OS akan hadir. Ia mungkin menjadi salah satu tablet alternatif kepada mereka yang inginkan sesuatu seperti gabungan tablet Android dan tablet Windows.


TIPS & ULASAN