Tiada Lagi Televisyen 3D Selepas 2017 – LG Dan Sony Menghentikan Pengeluaran

Tiada Lagi Televisyen 3D Selepas 2017 – LG Dan Sony Menghentikan Pengeluaran

Diterbitkan pada Jan 25, 2017 oleh .

Sekitar beberapa tahun lepas, televisyen dengan sokongan 3D merupakan salah satu perkara yang dibual ramai, malah membuatkan pelbagai pengeluar memasarkannya dengan pelbagai inovasi termasuk kaca mata aksesori khusus untuknya. Walaubagaimanapun, permintaan untuk TV 3D tidak begitu tinggi berbanding televisyen biasa, dan kini nampaknya semua pengeluar telah mula menghentikan pengeluaran televisyen 3D.

TV 3D

Sejak beberapa tahun lepas, pelbagai pengeluar telah menghentikan pengeluaran televisyen 3D secara berperingkat. Samsung dan Philips telah menghentikannya pada 2016 yang lepas. Kini, ia dilaporkan, dua pengeluar televisyen 3D terakhir, iaitu LG dan Sony akan menghentikannya pada 2017 ini.

Ia dikatakan permintaan untuk televisyen 3D untuk kegunaan rumah bukan suatu permintaan utama, malah kandungan untuknya juga sangat terhad. Pengguna pada masa kini lebih memfokuskan kepada permintaan ciri-ciri televisyen pintar – selain memfokuskan pada resolusi skrin serta sokongan HDR.

Malah, mungkin keperluan menggunakan kaca khusus juga tidak diminati ramai – dan mungkin tidak sesuai untuk menonton rancangan bagi masa yang lama.

Untuk anda, adakah anda pernah cuba menonton televisyen 3D?


TIPS & ULASAN