Carian
(Ura-Ura) Google Pixel 2 Bakal Hadir Dengan Versi Mampu Milik, Kalis Air Dan Kamera Lebih Baik
January 27, 2017 Effi Saharudin

Google Pixel dan Pixel XL yang dilancarkan tahun lalu masih belum dijual secara rasmi di Malaysia. Reaksi dari pengguna adalah positif dengan pujian diberikan ke atas perisian yang pantas dengan sokongan kecerdasan buatan. Sungguhpun begitu ketiadaan fungsi kalis air dan kamera yang sedikit bermasalah adalah komen negatif yang turut didengari.

Hari ini ura-ura mengenai Pixel 2 didengari. Google dilaporkan sedang melakukan ujian ke atas beberapa prototaip untuk generasi kedua pixel. Mereka dipercayai menguji peranti dengan Snapdragon 835 dan kemampuan kalis air. Seperti Pixel asal, Google akan menumpukan kemampuan kamera yang tinggi pada peranti generasi kedua. Harga jualan untuk versi premium ini turut dilaporkan lebih mahal berbanding versi tahun lalu.

Sekiranya ini mengecewakan anda, jangan panik dahulu. Google turut dikatakan membangunkan edisi mampu milik dengan kod nama Pixel 2B. Spesifikasi 2B adalah lebih rendah berbanding Pixel 2 dan dihasilkan untuk pasaran negara membangun. Kita masih di bulan Januari dan terdapat lebih enam bulan sebelum Pixel 2 dilancarkan. Mungkin banyak perubahan akan dilakukan di dalam tempoh yang lama ini.

Pada hemat anda apakah fungsi yang perlu wujud pada Pixel 2. Kami mahukan cip audio terbina kerana bahagian audio kerap dianaktirikan oleh pengeluar peranti. Pada waktu yang sama diharap pembesar suara stereo akan turut disertakan.

Komen