Nokia Memperkenalkan Pembantu Digital Dinamakan MIKA – Khusus Untuk Jurutera Telekomunikasi

Nokia Memperkenalkan Pembantu Digital Dinamakan MIKA – Khusus Untuk Jurutera Telekomunikasi

Diterbitkan pada Jan 28, 2017 oleh .

Dengan persaingan sengit dalam arena pembantu maya digital, pihak Nokia nampaknya tidak ingin ketinggalan. Tetapi, berbeza dengan penawaran daripada pelbagai syarikat, Nokia dilihat lebih memfokuskan perusahaan dengan memperkenalkan pembantu digital dinamakan MIKA khusus untuk jurutera telekomunikasi.

Nama penuh MIKA adalah Multi-purpose Intuitive Knowledge Assistant. Ia menawarkan bantuan maya berasaskan kepada input suara, dan membantu jurutera dalam menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan teknologi rangkaian.

MIKA akan mengumpulkan pelbagai informasi, dan melalui integrasi pembelajaran pintar, ia akan mencadangkan sejumlah penyelesaian kepada jurutera.

Nokia juga pada masa yang sama memperkenalkan Predictive Repair, salah satu perkhidmatan daripada mereka yang boleh meramalkan kerosakkan sesuatu peralatan telekomunikasi sekitar 14 hari sebelum ia berlaku.

Nokia mengatakan mereka bakal menghadirkan diri pada MWC 2017 ini, dan memperlihatkan lebih lanjut mengenai pembantu digital untuk jurutera ini ketika acara berkenaan.

Pengenalan ini mungkin tidak mengejutkan ramai, apatah lagi dengan Nokia sendiri lebih memfokuskan kepada industri telekomunikasi dan perusahaan – dan melesenkan jenama mereka untuk penawaran pengguna kepada pihak HMD Global. Sebelum ini juga, pihak Nokia telah hadir dengan penawaran realiti-maya untuk perusahaan melalui Ozo.


TIPS & ULASAN