Cari @ Amanz

Mungkin ramai sedia maklum mengenai Windows RT, salah satu sistem operasi yang kurang popular daripada Microsoft disebabkan sokongan perisian yang terhad padanya. Versi sistem operasi berkenaan sendiri seperti tidak menerima kemaskini lagi, tetapi ia dilihat Microsoft bakal hadir dengan sesuatu yang baru, dikenali buat masa ini dengan nama “Windows 10 Cloud“.

Melalui Windows 10 Cloud ini, ia akan menawarkan sistem operasi Windows 10 yang lebih diringkaskan, dan hanya mampu menjalankan aplikasi universal yang ditawarkan melalui Windows Store.

Ia tidak diketahui bagaimanakah pihak Microsoft akan memasarkannya kembali kepada pengguna. Mungkin Microsoft ingin menyediakan suatu alternatif kepada pengguna, dan tidak ingin tewas dalam arena komputer riba berharga rendah yang dipelopori oleh Chromebook pada masa kini.

Sebelum ini juga, pihak Microsoft telah memperlihatkan Windows 10 dijalankan pada cip pemprosesan Snapdragon, menandakan Windows 10 Cloud ini mungkin dijana menggunakan cip berasaskan ARM.

Info lanjut mengenai Windows 10 Cloud ini masih tidak diketahui buat masa ini. Mungkin kita akan mendengar lanjut mengenainya bersama-sama pengenalan Windows 10 Creators Update kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd