Carian
Embrio Chimera Manusia-Khinzir Dihasilkan Bagi Menyelesaikan Masalah Kekurangan Penderma Organ
February 1, 2017 Effi Saharudin

Jumlah penderma organ di Malaysia ialah antara yang terendah di dunia Tahun laku terdapat laporan mengatakan terdapat 0.6 organ didermakan untuk setiap 1 Juta penduduk di Malaysia. Ini ialah jauh di bawah keperluan semasa dan menyebabkan pesakit yang memerlukan bantuan menanti selama bertahun lamanya. Oleh itu tidak mengejutkan bagi mereka yang berharta, mereka mencari alternatif dengan mendapatkan rawatan ke China.

Kempen menggalakkan pendermaan organ sering dijalankan tetapi masih belum menunjukkan peningkatan yang menggalakkan. Oleh itu alternatif lain dicari oleh penyelidik di seluruh dunia. Dr Jun Wu dari Salk Institute Amerika Syarikat cuba menyelesaikan masalah kekurangan organ manusia dengan menghasilkannya di dalam tubuh khinzir.

Beliau berjaya menghasilkan embrio chimera manusia-khinzir yang membolehkan organ khinzir yang dihasilkan digunakan di dalam tubuh manusia. Sel punca (stem cell) manusia disuntik ke dalam embrio khinzir bagi menghasilkan chimera ini.

Khinzir dipilih kerana saiz organ yang hampir sama dengan organ manusia. Pada waktu yang sama babi membiak dengan pantas  selama 114 hari dan mencapai saiz matang dalam masa hanya empat bulan. Hasilnya ialah organ khinzir untuk kegunaan manusia boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dan pantas.

Masa depan organ babi sebagai ganti organ manusia ini masih jauh kerana hanya 1 sel manusia wujud di dalam setiap 100 000 sel khinzir. Organ yang dihasilkan dari embrio chimera ini masih belum sedia digunakan di dalam tubuh manusia. Lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum ia sesuai menjadi alternatif pantas kepada kekurangan organ sedia ada.

Ini bukan satu-satunya kajian organ khinzir untuk kegunaan manusia yang dilakukan. Dr Muhammad Mohiuddin di National Heart, Lung, and Blood Institute yang terletak di Bethesda, Maryland juga melakukan kajian yang sama. Kami melaporkan kejayaan beliau memindahkan organ babi ke dalam babun pada tahun 2015. Adakah anda sanggup menggunakan organ babi untuk menyelamatkan diri dari maut?

Komen