Cari @ Amanz

Google jarang membuat pengumuman mengenai sokongan versi Chrome lama yang ditamatkan kerana polisi mereka yang meminta pengguna menggunakan versi terkini setiap masa. Walaubagaimanapun, hari ini mereka membuat pengecualian disebabkan impak perubahan yang mungkin memberikan kesan besar kepada pengguna Windows XP dan Vista.

Menurut Google, kini GMail menghentikan sokongan untuk pelayar web Chrome 53 dan sebelumnya. Bermula minggu hadapan, GMail akan memaparkan notifikasi kepada pengguna pelayar web Chrome 53 dan sebelumnya untuk mengemaskini kepada versi terkini.

Pengumuman ini semestinya akan menyedihkan ramai pengguna Windows XP dan Vista. Ini adalah kerana versi Chrome 49 adalah versi terakhir yang menyokong sistem operasi berkenaan.

Google mengatakan pengguna masih boleh kekal menggunakan GMail, tetapi akan terdedah kepada pelbagai risiko sekuriti, dan tidak mempunyai akses kepada fungsi baru. Disamping itu, Google juga akan mengubah paparan kepada bentuk HTML asas bermula awal Disember 2017 kelak untuk pengguna yang masih menggunakan versi Chrome 53 dan sebelumnya.

Sebagai langkah mengatasinya, Google meminta pengguna beralih ke versi sistem operasi terkini, dan menggunakan Chrome terkini untuk menikmati pelbagai perlindungan sekuriti serta ciri-ciri baru yang dibawakan olehnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd