Cari @ Amanz

Apple kini dikatakan sedang merekabentuk cip baru untuk komputer riba akan datang, yang mana akan mengambil sedikit tugasan yang kini dikendalikan oleh pemprosesan Intel.

Seperti pada Macbook sebelum ini, ia akan dibangunkan menggunakan teknologi ARM. dan dioptimasikan untuk beroperasi bersama cip Intel yang menguasakan komputer riba berkenaan. Apple menggunakan cip berasaskan ARM pada Macbook yang lepas, dikenali dengan nama T1. Ia menjana TouchBar pada MacBook, selain beberapa ciri-ciri sekuriti seperti untuk fungsi biometrik melalui pengimbas cap jari.

Para jurutera Apple dikatakan sedang merancang untuk menggunakan cip ARM baru ini untuk mengendalikan lebih tugasan, termasuk fungsi Power Nap. Ia akan membolehkan komputer riba Mac untuk terus menerima emel, memasang perisian, mengemaskini kalendar dengan temujanji – ketika dalam mod tidak digunakan, dan skrin dimatikan. Dengan peralihan ke cip ARM, ia akan menjimatkan lagi tenaga yang digunakan komputer riba Mac berbanding pada hari ini.

Jikalau mengikut perancangan masa panjang, Apple mungkin membangunkan cip yang lebih berkuasa tinggi untuk digunakan pada komputer riba mereka, dan tidak lagi bergantung kepada cip Intel untuk Mac. Buat masa kini, Apple menggunakan cip siri-A tersendiri pada iPhone dan iPad sejak 2010 lepas, dan boleh dikatakan perniagaan cip mereka merupakan salah satu pelaburan yang amat berbaloi sehingga kini.

Selain itu, pembangunan cip Apple tersendiri akan membolehkan mereka mengintegrasikan keupayaan perkakasan dan perisian dengan lebih baik – salah satu perkara yang sedia mereka perlihatkan melalui iPhone dan iPad. Walaubagaimanapun, buat masa ini, Apple dikatakan masih tiada perancangan untuk meninggalkan penggunaan cip Intel dalam waktu terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd