Noctua kini telah memperkenalkan edisi istimewa penyejuk CPU yang berdasarkan siri yang sedia ada mereka, khas untuk CPU AMD yang akan datang, Ryzen. Penyejuk-penyejuk ini termasuklah Noctua NH-D15, NH-U12S, dan NH-L9x65 akan dibuat khusus untuk socket SE-AM4 yang baru.
CEO Noctua, Roland Mossig berkata “Setiap penyejuk ini telah menerima lebih 100 anugerah, dan perakuan daripada pelbagai pihak, dan kami yakin bahawa penyejuk kami yang telah direka khas untuk soket SE-AM4 ini akan menjadi pilihan yang sangat baik untuk pembina-pembina komputer, tidak kisahlah jika anda membina PC mini-ITX ataupun komputer gergasi yang akan digunakan untuk tujuan overclocking.
Noctua NH-D15 mempunyai kapasiti menyejukkan CPU di suhu yang agak tinggi, dan ini membolehkan penggemar overclock melakukan aktiviti overclocking setinggi yang mungkin – manakala kipas di penyejuk tersebut hanya akan berputar pada kadar yang perlahan.
Noctua NH-L9x65 pula merupakan penyejuk berprofil rendah dan padat. Ia sesuai digunakan oleh mereka yang ingin membina sistem PC yang kompak dan tidak memerlukan ruangan yang besar. Untuk mereka yang hanya mahukan penyejuk yang boleh mengurangkan haba dari CPU secara cekap tanpa melakukan sebarang perubahan, Noctua NH-U12S adalah penyejuk yang paling sesuai untuk tujuan tersebut, malah boleh digunakan dalam cangkerang komputer pelbagai saiz.
Setiap model penyejuk CPU ini juga dilengkapi dengan teknologi SecuFirm2, iaitu sebuah mekanisma mengunci yang dicipta khas untuk soket SE-AM4 – memastikan CPU AMD anda dipasang dengan mudah dan sempurna.
Ketiga-tiga model ini telah mula dipasarkan, dan berharga bermula USD54.90 (~RM244).