Gartner : Pengguna Kurang Membeli Aplikasi, Tapi Lebih Selesa Membuat Pembelian-Dalam-Aplikasi

Gartner : Pengguna Kurang Membeli Aplikasi, Tapi Lebih Selesa Membuat Pembelian-Dalam-Aplikasi

Diterbitkan pada Feb 2, 2017 oleh .

Gartner merupakan salah satu syarikat yang sering membuat pelbagai analisa dan kajian berkaitan dunia ICT. Terkini, mereka telah hadir dengan bancian terkini berkaitan dengan pembelian aplikasi pada era populariti telefon pintar dan tablet.

Daripada bancian yang dilakukan oleh Gartner, mereka mendapati lebih separuh pengguna tidak membuat sebarang pembelian aplikasi, ataupun pembelian dalam-aplikasi.

Gartner Aplikasi 2017

Walaubagaimanapun, apabila dilihat daripada perbelanjaan pengguna, ia dilihat pengguna lebih terbuka untuk membuat pembayaran dalam-aplikasi pada nilai tinggi, berbanding membeli sesuatu aplikasi. Bancian Gartner yang melibatkan sekitar 3000 responden dari Amerika Syarikat, China dan UK mendapati pengguna lebih terbuka untuk membeli aplikasi pada nilai kurang $15, sementara untuk nilai melangkaui $15, pengguna lebih gemar membuat pembelian-dalam-aplikasi.

Dari segi had umur, pengguna berusia diantara 18 hingga 24 tahun didapati membuat pembelian purata aplikasi sekitar $3.80, dan pembelian dalam-aplikasi sekitar $12.10. Sebagai perbandingan, pengguna berusia antara 25 hingga 34 tahun pula dilihat membuat pembelian aplikasi pada purata $13.40 untuk tempoh tiga bulan lepas, serta pembelian dalam-aplikasi mencapai $19.

Daripada apa yang dapat dilihat, pengguna lebih terbuka untuk membeli kandungan tambahan selepas mencuba sesuatu aplikasi, berbanding perlu mengeluarkan duit terlebih dahulu sebelum mencubanya. Ini juga mungkin salah satu sebab kenapa aplikasi berbentuk freemium kini lebih banyak di pasaran – terutamanya yang berbentuk permainan.

Bagi anda sendiri, apakah anda lebih terbuka membeli aplikasi tersebut, atau terbuka untuk membuat pembelian-dalam-aplikasi.


TIPS & ULASAN