AMD Mengesahkan Jadual Pengeluaran Ryzen – Dijangka Sekitar Mac 2017
AMD

AMD Mengesahkan Jadual Pengeluaran Ryzen – Dijangka Sekitar Mac 2017

Diterbitkan pada Feb 3, 2017 oleh .

Jika anda mengikuti perkembangan teknologi cip pemprosesan, anda tentunya akan tahu bahawa persaingan di antara AMD dan Intel sejak bertahun-tahun dahulu. Malangnya, untuk beberapa tahun yang lepas, Intel selalu berada di tangga teratas untuk perlumbaan ini, dan AMD sedikit ketinggalan.

Kini, AMD dilihat ingin memulihkan persaingan tersebut, dengan melancarkan platform cip pemprosesan terbaru mereka, Ryzen. Ryzen dikatakan mampu bersaing dengan pilihan-pilihan cip premium daripada Intel. AMD juga telah menunjukkan beberapa papan induk AM4 di Consumer Electronics Show di Las Vegas bulan lalu, dan nampaknya kita akan melihat sistem-sistem siap-bina yang menggunakan AMD Ryzen tidak lama lagi.

Lisa Su, CEO AMD telah mengumumkan bahawa cip pemprosesan AMD Ryzen akan dijual seawal bulan Mac 2017, sewaktu pembentangan pendapatan suku keempat syarikat tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa AMD akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat pembina sistem terlebih dahulu, dan akan melancarkan cip pemprosesan tersebut secara kendiri tidak lama kemudian.

Ini adalah berita baik untuk mereka yang gemar membina komputer mereka sendiri, kerana Ryzen menggunakan proses fabrikasi 14nm, suatu loncatan yang agak jauh dari proses 32nm dan 28nm yang digunakan pada cip pemprosesan Steamroller dan Excavator sebelum ini.

Dalam pada itu, AMD juga bersedia untuk melihat ke masa hadapan – dengan Lisa Su menyatakan bahawa AMD akan mara kehadapan dengan projek cip pemprosesan 7nm mereka, yang dipanggil Zen 2 and Zen 3 buat masa ini. Untuk produk-produk ini, masih tiada jangka masa yang diberikan. Tetapi desas-desus awal mengatakan bahawa ini adalah produk untuk masa hadapan, kerana masih ada cip pemprosesan Zen+ yang masih belum diumumkan lagi.

Berdasarkan kenyataan Lisa Su, pelancaran kad grafik berasaskan cip AMD Vega pula dijangka dilancarkan sekitar suku kedua tahun 2017 ini. Seperti yang kami nyatakan, butiran tentang AMD Vega adalah sangat sedikit buat masa ini, tetapi kami pasti bahawa dalam masa yang terdekat ini, akan lebih banyak informasi yang boleh kami kongsikan bersama para pembaca sekalian.


TIPS & ULASAN