Facebook Diarah Membayar ZeniMax Media $500 Juta Kerana Menggunakan Kod Sumber Tanpa Kebenaran

Facebook Diarah Membayar ZeniMax Media $500 Juta Kerana Menggunakan Kod Sumber Tanpa Kebenaran

Diterbitkan pada Feb 3, 2017 oleh .

Teknologi pengguna kini berada di tahap di mana kita boleh menggunakan set kepala untuk masuk ke alam realiti-maya yang menarik dan menyeronokkan. Akan tetapi, kadang-kala syarikat yang membuat produk seperti ini harus berhati-hati dengan teknologi yang digunakan, kerana saman paten akan menunggu untuk menyerang pada bila-bila masa sahaja.

Itulah yang telah berlaku kepada Facebook dan anak syarikatnya, Oculus yang mereka-cipta set kepala realiti maya Oculus Rift. Syarikat tersebut telah diarah oleh seorang hakim dari Texas untuk membayar syarikat permainan video ZeniMax sebanyak $500 juta kerana Oculus menggunakan kod sumber ZeniMax tanpa kebenaran mereka.

ZeniMax juga mendakwa bahawa John Carmack, CTO syarikat Oculus membangunkan beberapa teknologi utama Oculus Rift sewaktu beliau bekerja di salah-satu anak syarikat tersebut. John Carmack terkenal sewaktu beliau masih seorang pengasas syarikat id Software dengan tajuk-tajuk permainan video popular seperti Doom, Quake dan Wolfenstein.

Kes saman Oculus Rift ini bukanlah sesuatu yang baharu, kerana bulan lalu pengasas Facebook, Mark Zuckerberg memberi keterangan bahawa kod sumber ZeniMax tidak digunakan dalam teknologi Oculus Rift. Kes mahkamah ini berlarutan selama tiga minggu, dan perintah mahkamah baru sahaja dikeluarkan.

Mujurlah Facebook juga baru menyatakan mereka akan melabur $3.0 billion untuk Oculus. Boleh juga wang tersebut digunakan untuk membayar saman ini.


TIPS & ULASAN