Microsoft Menamatkan Sokongan Skype Untuk Versi Lama – Masa Depan Versi Linux Menjadi Tanda Tanya

Microsoft Menamatkan Sokongan Skype Untuk Versi Lama – Masa Depan Versi Linux Menjadi Tanda Tanya

Diterbitkan pada Feb 6, 2017 oleh .

Microsoft terkini telah mengumumkan mereka akan menamatkan sokongan untuk versi lama Skype, iaitu Skype untuk Windows versi 7.16 dan sebelumnya, selain Skype untuk Mac versi 7.0 ke 7.18. Microsoft mengatakan, pengguna yang menggunakan versi tersebut tidak boleh log masuk selepas 1 Mac, dan perlu menaik-taraf ke versi terbaru untuk terus menggunakannya.

Langkah ini dilakukan dalam mengintegrasikan pelbagai fungsi dan infrastuktur baru pada Skype, sekaligus menawarkan pengalaman yang baik kepada para pengguna.

Apa pun, bersama-sama pengumuman ini, salah satu perkara yang menjadi tanda tanya adalah mengenai masa depan untuk versi Linux. Walaupun tidak diumumkan melalui blog rasmi, tetapi Microsoft dilihat telah mula menghantar emel kepada pengguna Linux, mengatakan Skype 4.3 dan sebelumnya akan berhenti berfungsi selepas 1 Mac 2017 ini.

Apa yang menjadi persoalan adalah kerana versi terkini untuk Linux adalah Skype 4.3 – iaitu versi stabil dan rasmi. Mereka mempunyai penawaran Skype untuk Linux Alpha, namun terdapat beberapa fungsi yang masih tidak boleh digunakan lagi – salah satunya sokongan untuk panggilan keluar ke talian mudah-alih atau talian tetap.

Buat masa ini, Microsoft masih tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi mengenainya. Para pengguna telah mula mempersoalkan perkara berkenaan di forum rasmi Skype buat masa ini.


TIPS & ULASAN