Google Membuka Platform Pembangunan Aplikasi Realiti-Maya Google Daydream Kepada Umum

Google Membuka Platform Pembangunan Aplikasi Realiti-Maya Google Daydream Kepada Umum

Diterbitkan pada Feb 6, 2017 oleh .

Jika anda ingin berjinak-jinak dalam pembangunan aplikasi realiti-maya, anda kini boleh melakukannya dengan Google Daydream. Google baru sahaja membuka platform pembangunan realiti maya tersebut minggu ini kepada orang ramai, dengan harapan pembangunan aplikasi realiti-maya akan lebih pesat lagi, sekaligus menyaksikan lebih banyak kandungan diterbitkan khusus untuknya meliputi permainan, video dan sebagainya.

Pembukaan platform pembangunan Daydream ini kepada khalayak ramai bukanlah suatu keputusan yang baru dibuat oleh Google, kerana syarikat tersebut sudah pun berjanji akan membukanya kepada semua orang bila tiba masanya.

Walaubagaimanapun, proses pembangunan aplikasi realiti-maya menggunakan Google Daydream tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum aplikasi anda boleh diterbitkan di Google Play Store, seperti memastikan bahawa aplikasi anda melepasi piawaian Daydream App Quality bagi memastikan aplikasi anda bukan sahaja berkualiti, malah mudah untuk digunakan oleh pengguna.

Pembangun aplikasi Daydream juga haruslah memastikan aplikasi mereka ikut serta dalam program Daydream, supaya aplikasi-aplikasi tersebut boleh dijumpa melalui Google Play VR dan aplikasi Daydream.

Sekiranya anda seorang pembangun, dan meminati arena realiti-maya, mungkin boleh menyemak apakah yang dibawakan oleh Google Daydream, dan menjadi antara terawal di Malaysia untuk menerbitkan kandungan untuknya.


TIPS & ULASAN