Cari @ Amanz

Papan kekunci mekanikal merupakan salah satu aksesori permainan komputer yang semakin diingini oleh lebih ramai pengguna. Ini kerana kebanyakan papan kekunci jenis mekanikal ini sangat tahan lasak, dan boleh digunakan untuk jangka masa yang agak lama.

Kingston, sebuah syarikat yang dikenali ramai kerana kepelbagaian peralatan dan komponen komputer, kini memperkenalkan sebuah papan kekunci baru yang bernama Kingston HyperX Alloy FPS.

Kebanyakan papan kekunci mekanikal pada masa kini menggunakan suis Cherry MX, dan untuk HyperX Alloy FPS ini, Kingston memutuskan untuk memberi tiga pilihan kepada pengguna, iaitu suis Cherry MX Blue, Red dan Brown.

Reka bentuk papan kekunci ini agak minimalis, akan tetapi kerangkanya dibina dengan menggunakan rangka keluli untuk memastikan papan kekunci ini dapat menerima penggunaan yang agresif buat tempoh jangka masa yang panjang.

Papan Kekunci HyperX Alloy RPS ini juga tidak mempunyai kekunci khas, ataupun lampu kelipan RGB yang amat popular sekarang. Tetapi ia dilengkapi dengan lampu LED merah, dan enam jenis pra-tetap kelipan LED. Kekurangan ini juga dibaiki dengan sedikit dengan penambahan port pengecas USB, selain kekunci WASD dan 1, 2, 3 dan 4 berwarna merah yang boleh digunakan untuk menggantikan kekunci warna hitam yang dipasang pada papan kekunci tersebut.

Berdasarkan carian di Lazada, papan kekunci Kingston HyperX Alloy FPS ini sudahpun mula dijual di Malaysia, tetapi pilihan suis nampaknya hanya terhad kepada Cherry MX Blue sahaja buat masa ini. Mungkin pilihan suis Cherry MX lain akan tersedia di masa yang terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd