SK Hynix Membida Untuk Mendapatkan Perniagaan Cip Memori Toshiba

SK Hynix Membida Untuk Mendapatkan Perniagaan Cip Memori Toshiba

Diterbitkan pada Feb 7, 2017 oleh .

Semua gajet-gajet hari ini, tidak kiralah telefon pintar, komputer riba, ataupun jam pintar dan sebagainya – semua memerlukan cip memori untuk menyimpan data dan informasi untuk jangka masa pendek, ataupun panjang.

SK Hynix, syarikat pembuat cip dari Korea Selatan yang terkenal dengan teknologi High Bandwidth Memory, baru sahaja mengumumkan mereka telah membida untuk mendapatkan majoriti dalam perniagaan cip memori Toshiba.

Toshiba, yang mempunyai pelbagai jenis perniagaan dari pelbagai industri – termasuk pengurusan loji nuklear dan televisyen kini dilihat ingin menjual sebahagian besar dari perniagaan semikonduktor mereka untuk menyekat penurunan nilai yang menyebabkan syarikat Jepun itu kerugian berbilion dolar.

SK Hynix, pula lebih kepaada sedang sibuk dengan pembangunan dan pengeluaran cip memori HBM 2.0, ingin membeli kepentingan dari Toshiba ini supaya mereka boleh mengekalkan kedudukan dalam arena pengeluaran cip memori ini, dan juga menggunakan teknologi memori NAND Toshiba untuk membina cip memori yang lebih canggih di masa hadapan.

Berdasarkan laporan Bloomberg, SK Hynix dikatakan telah menawarkan untuk membida sebanyak 2.0 trilion Won (~RM 7.7 bilion) untuk kepentingan tersebut, walaupun butiran tentang peratusan pengambil-alihan tidak didedahkan.

Reuters pada masa yang sama turut melaporkan, bidaan juga telah dilakukan oleh Western Digital dan Micron Technologies, dua syarikat memori dari Amerika yang juga mempunyai kepentingan tersendiri di dalam sektor tersebut.


TIPS & ULASAN