Salah satu masalah yang terbesar yang sedang dialami oleh Google kini ialah kesusahan untuk mengekang penularan aplikasi tiruan dan yang berbahaya kepada para penggunanya. Pelbagai cara telah dilakukan, tetapi usaha mereka kurang berhasil.
Terbaru, Google telah menghantar emel kepada beribu-ribu pembina aplikasi, dan telah mengarahkan mereka untuk mengemaskini polisi privasi mereka, atau mereka akan menghadapi risiko di mana aplikasi mereka akan dipadamkan dari Play Store.
Bagi aplikasi yang memerlukan akses kepada informasi sensitif seperti kamera, senarai kenalan, dan sebagainya, Google kini menyuruh pembina aplikasi untuk memberi pautan kepada polisi privasi yang sah di halaman Play Store mereka.
Google juga memberi pilihan kepada pembina untuk tidak perlu memberi pautan tersebut, akan tetapi aplikasi tersebut tidak dibenarkan untuk meminta akses kepada informasi sensitif yang kami nyatakan tadi.
Mengikut emel tersebut, para pembina harus membuat kemaskini ini selewat-lewatnya pada 15 Mac tahun ini, jika tidak, keterlihatan aplikasi mereka akan disekat, dan paling teruk, aplikasi tersebut akan dipadamkan dari Play Store.
Langkah ini dilihat oleh pembina yang sah sebagai langkah yang terbaik dari Google untuk memperbetulkan masalah ini buat jangka masa yang terdekat, kerana banyak aplikasi-aplikasi tiruan ini dibuat oleh pembina amatur yang tidak mempunyai sebarang pengalaman menulis polisi-polisi tersebut.
Walaubagaimanapun, ini juga mungkin akan menyukarkan pembina-pembina baru untuk membuat aplikasi di platform Android, dan kami berharap Google akan memperbaiki lagi platform pembina mereka, supaya orang ramai boleh membina aplikasi mudah-alih dengan lebih mudah dan selamat.