MSI Mengumumkan Siri Papan Induk ATX dan mATX ARCTIC Z270, H270 Dan B250M
MSI

MSI Mengumumkan Siri Papan Induk ATX dan mATX ARCTIC Z270, H270 Dan B250M

Diterbitkan pada Feb 10, 2017 oleh .

Salah satu perkara yang menarik tentang membina PC anda sendiri pada masa sekarang ialah pilihan yang sedia ada untuk membina sebuah komputer yang mempunyai tema warna khusus. Jika anda sedang mencari perkakasan komputer khusus untuk membina komputer bertemakan warna putih, MSI baru sahaja mengumumkan siri papan induk MSI ARCTIC yang terbaru untuk platform CPU Intel Kaby Lake.

Papan-induk ini termasuklah model MSI Z270/H270 Tomahawk ARCTIC untuk PC bersaiz ATX, dan MSI H270/B250 Mortar ARCTIC untuk komputer bersaiz mATX yang lebih kecil. Siri papan induk MSI Tomahawk ARCTIC ini mempunyai ciri storan Twin Turbo M.2 yang menggunakan lorong PCIe 3.0 x4 untuk permulaan sistem operasi dan perisian yang pantas, selain untuk pemindahan fail yang lebih laju.

Selain daripada itu, anda juga boleh menetapkan SSD PCIe menggunakan perisian MSI M.2 Genie untuk menggunakan konfigurasi RAID – supaya anda mempunyai storan yang bukan sahaja lebih laju, malah mampu berfungsi sebagai sandaran sekiranya ada data yang rosak. Tidak kurang dari itu, papan induk ini turut disertai dengan sokongan teknologi storan Intel Optane.

MSI H270M/B250M Mortar ARCTIC pula merupakan papan induk mATX, yang biasanya digunakan untuk membina PC bersaiz kecil. Papan induk buatan MSI ini kecil-kecil cili api, kerana ia mempunyai pelbagai ciri-ciri penggemar permainan komputer akan suka.

Diantaranya ialah port Intel GAMING LAN dengan sokongan LAN Protect – yang menggunakan komponen asas berkualiti tinggi untuk memastikan bahawa permainan atas-talian anda tidak mengalami lengah-masa dan mempunyai kadar pendaman (latency) yang rendah.

Kedua-dua papan induk ini juga hadir dengan teknologi Steel Armor, di mana port RAM dan PCIe dilindungi oleh rangka besi, yang memastikan bahawa papan memori capaian rawak dan kad grafik boleh dimuatkan dengan baik, dan tidak bengkok. Bagi mereka yang berminat untuk membina PC memfokuskan permainan dengan kad grafik berganda, kedua-dua papan induk ini menyokong konfigurasi dua kad AMD CrossFireX.

Mana-mana pun model yang anda pilih, anda pasti akan mendapat papan induk yang bukan sahaja sesuai dengan tema binaan PC anda, tetapi anda juga akan mendapat sokongan untuk komponen yang akan berfungsi dengan amat baik.


TIPS & ULASAN