Cari @ Amanz

BlackBerry kini telah memfailkan saman terhadap Nokia kerana pelanggaran paten, dan meminta royalti daripada Nokia untuk penggunaan piawaian teknologi yang dibangunkan oleh BlackBerry berkenaan.

BlackBerry pada pemfailan mereka mengatakan produk Nokia terutamanya produk rangkaian menggunakan teknologi yang diliputi oleh 11 paten yang dimiliki oleh BlackBerry. BlackBerry turut mengatakan produk dan perkhidmatan yang dibangunkan Nokia menggunakan paten mereka turut ditawarkan untuk syarikat telekomunikasi di Amerika Syarikat.

BlackBerry melalui pemfailan mereka mengatakan ingin mendapatkan bayaran pampasan untuk penggunaan teknologi yang dipatenkan oleh BlackBerry berkenaan. Walaubagaimanapun, nilai yang dipohon tidak dikongsikan Blackberry buat masa ini.

Sebahagian daripada paten sebelum ini dimiliki oleh Nortel Networks Corp – yang mana pernah Nokia cuba membelinya. Walaubagaimanapun, syarikat berkenaan telah dibeli oleh sebuah konsortium yang mana BlackBerry merupakan sebahagian daripadanya. Paten milik Nortel Networks Corp berkenaan kemudian dibahagian kepada ahli konsortium berkenaan yang turut disertai oleh Apple dan Microsoft, selain BlackBerry.

Seperti ramai sedia maklum, BlackBerry dibawah John Chen kini melihat kepada pelbagai ruangan untuk menjana pendapatan – apatah lagi dengan cabaran dalam arena telefon pintar. Sebelum ini sendiri mereka telah mula melesenkan teknologi dan paten milik mereka kepada pengguna lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd