Tidak dapat dinafikan Xiaomi Mi MIX ialah peranti paling berinovasi sepanjang 2016. Pihak Xiaomi dengan beraninya menggunakan tubuh seramik dan rekaan hampir tanpa bezel pada peranti konsep ini. Keberanian mereka mendorong pengeluar lain untuk turut menghasilkan peranti hampir skrin sepenuhnya. Apple dan Samsung dipercayai akan melancarkan peranti hampir tiada bezel mereka tahun ini.
Lei Jun, CEO Xiaomi memuat naik status di Weibo yang mengesahkan Mi MIX II sedang dalam proses rekaan. Sekali lagi khidmat pereka industri ternama Philippe Starck digunakan bagi menghasilkan peranti generasi kedua ini. Sebagai pemilik Mi MIX, kami berharap sistem pembesar suara piezoelekrtik dan tubuh yang kurang tahan lasak peranti ini dapat diperbaiki.