Cari @ Amanz

Pada awal tahun ini, HTC telah memperluaskan portfolio mereka dengan pengenalan siri HTC U yang menawarkan rekaan menarik dan menawan. Seperti ura-ura penawaran harga sebelum ini, HTC akhirnya telah melancarkan HTC U Ultra dan HTC U Play untuk pasaran tempatan.

HTC U Ultra menawarkan peranti berskrin 5.7-inci pada resolusi 2K, cip pemprosesan Snapdragon 821, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 64GB. Ia juga menyertakan sensor 12MP f/1.8 OIS untuk kamera utama dan sensor 16MP f/1.8 untuk kamera hadapan. Ia juga kini menyertakan bateri 3000 mAh bersama pengecasan pantas Quick Charge 3.0 melalui sambungan USB Type-C.

Menariknya, HTC U Ultra hadir dengan skrin kedua pada bahagian hadapan yang membolehkan peranti memaparkan notifikasi melaluinya. Peranti ini turut dikuasakan dengan Android 7.0 Nougat yang kini diintegrasikan dengan kecerdasan buatan untuk pengoptimasian peranti berdasarkan penggunaan pengguna.

Selain HTC U Ultra, HTC turut melancarkan HTC U Play untuk penawaran yang lebih berpatutan. Ia dilengkapi dengan skrin 5.2-inci 1080p, cip pemprosesan MediaTek Helio P10, memori 4GB RAM, dan pilihan storan 32GB/64GB. Ia juga turut menawarkan keupayaan kamera 16MP pada bahagian hadapan dan belakang.

Berbeza dengan HTC U Ultra, ia tidak menyertakan skrin kedua dan hanya menjalankan Android 6.0 Marshmallow sebagai sistem operasi.

Di Malaysia, HTC U Ultra ditawarkan di Malaysia pada harga RM2999 dengan pilihan warna Brilliant Black, Cosmetic Pink, dan Sapphire Blue. Sementara HTC U Play dijual pada harga RM1899 dengan pilihan warna Black Oil dan Iceberg White. Bagi yang ingin mendapatkannya, kedua-dua peranti ini bakal dijual melalui pengedar-pengedar rasmi HTC Malaysia seawal Mac ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd