Cari @ Amanz

Peperangan pelan data pra-bayar diantara syarikat-syarikat telekomunikasi amatlah sengit, dan nampaknya saingan tersebut bakal bertambah lebih sengit selepas ini. Hari ini, U Mobile telah mengumumkan pelan prabayar terbaru mereka, yang dinamakan Unlimited Power, yang memberikan para pengguna U Mobile data tanpa had untuk aplikasi-aplikasi media sosial, seperti Facebook, Twitter dan Instagram melalui servis App-Onz.

Pelan prabayar Unlimited Power ini bukan sahaja memberi kuota data tanpa tlhad untuk aplikasi-aplikasi App-Onz,  pengguna juga akan menerima kuota panggilan 300 minit secara percuma setiap bulan ke nombor-nombor U Mobile, dengan kadar panggilan 12 sen setiap 30 saat selepasnya.

Kad SIM prabayar U Mobile dengan pelan Unlimited Power ini akan dijual bermula hari esok (17 Februari 2017) untuk harga RM8.50, dengan kredit sebanyak RM5 dimuatkan ke dalamnya. Pengguna baru juga akan diberi data percuma sebanyak 200MB apabila nombor tersebut diaktifkan. Bagi pelanggan baru, mereka hanya perlu membayar RM10 sekali untuk mengaktifkan servis ini.

Bagi para pengguna prabayar U Mobile yang sedia ada, mereka boleh mengaktifkan servis App-Onz dengan percuma. Mereka hanya perlu mendail *118*6*2*3#, dan ini boleh dilakukan bermula esok juga.

Bagi para pengguna pascabayar, servis App-Onz akan disediakan untuk para pelanggan U28, P50, P70 dan P98. Untuk mereka, servis ini akan diaktifkan secara automatik di antara 17 sehingga 25 Februari.

Pelan U Mobile Unlimited Power sangat menarik bagi mereka yang sering meluangkan masa di laman media sosial. Dengan pelan ini, anda tidak lagi perlu risau tentang kehabisan data sewaktu menjadi keyboard warrior di Facebook dan Twitter, ataupun memuat-naik gambar makanan tengahari anda di Instagram.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd