Samsung hari ini telah mengadakan acara Samsung Forum 2017 untuk rantau Asia Tenggara, dan berkongsi mengenai sejumlah perkara yang bakal hadir ke pasaran tempatan – terutamanya mengenai peralatan elektronik. Yang menjadi fokus utama pihak Samsung pada acara ini adalah penawaran televisyen terbaru mereka yang hadir dengan panel QLED.

QLED merupakan inovasi terbaru daripada Samsung yang juga merupakan evolusi panel – dimana ia membawakan penggunaan teknologi Quantum Dot pada televisyen. Samsung mengatakan panel ini mampu menghasilkan isi-padu warna 100% dan menghasilkan paparan yang sangat jelas dan cantik berbanding pelbagai panel lain di pasaran. Perkara ini membolehkan ia menghasilkan warna yang lebih baik dan memaparkan kepada pengguna dengan jelas walaupun pada keadaan pencahayaan bilik berbeza.

Samsung QLED

Pada masa yang sama, Samsung mengatakan melalui QLED, ia menawarkan kadar luminans setinggi 2000 nits dan mengekalkan kejituan warna melaluinya.

Melengkapkan televisyen baru ini adalah sokongan pintar Samsung Smart TV berasaskan sistem operasi Tizen. Samsung menyediakan pelbagai aplikasi untuknya termasuk seperti Netflix dan sebagainya. Bercakap untuk pasaran tempatan, sokongan Steam Link masih tidak diaktifkan disebabkan oleh faktor perlesenan. Samsung mengatakan mereka sedang bekerja keras dalam menawarkan sokongan tersebut kepada pengguna di rantau ini.

Samsung juga turut memfokuskan kepada ciri-ciri astetik televisyen ini – termasuk penggunaan wayar sambungan yang lebih tersusun dengan hanya satu wayar sahaja yang sangat nipis – berbanding kebiasaan televisyen yang menggunakan pelbagai wayar untuk sambungan.

Samsung QLED

Dan akhir sekali, ia turut hadir dengan alat kawalan khusus dinamakan Samsung One Remote yang membolehkan pengguna membuat pelbagai kawalan dengan mudah.

Di Malaysia, Samsung Malaysia mengatakan akan menawarkan televisyen pintar baru ini bermula suku kedua 2017 ini. Ia akan hadir dalam variasi skrin 55-inci, 65-inci dan 75 inci untuk versi skrin mendatar dan melengkung. Untuk penawaran skrin dengan kadar luminans sehingga 2000 nits, ia hadir dalam variasi skrin sehingga 88-inci.

Harga jualannya tidak diumumkan lagi, tetapi Samsung mengatakan ia akan hampir dengan harga televisyen SUHD sebelum ini.

Samsung QLED

TIPS & ULASAN