Digi Dan NCSM Hadir Dengan Aplikasi “Stronger Than Cancer”

Digi Dan NCSM Hadir Dengan Aplikasi “Stronger Than Cancer”

Diterbitkan pada Feb 17, 2017 oleh .

Kanser dikenali sebagai penyakit yang bersendiri, akan tetapi, anda tidak semestinya perlu menghadapinya berseorangan. Untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit yang meragut banyak nyawa ini, Digi dan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) baru sahaja melancarkan aplikasi mudah-alih yang bernama Stronger Than Cancer. Melaluinya, ia ingin menjadi platform khidmat kesihatan dan kesejahteraan mengenai kanser yang pertama di Malaysia.

Aplikasi ini bertujuan untuk menjadi sebuah saluran sokongan maya yang mampu mengumpul pengguna dari pelbagai latar belakang, bukan sahaja untuk membantu mereka yang sedang menghidap penyakit kanser, tetapi juga untuk memberi informasi dan kesedaran kepada orang ramai. Ia sekaligus menjadikan aplikasi ini pusat sehenti yang mampu memberi pelbagai nasihat dan info mengenai kanser kepada orang ramai.

Salah satu ciri utama aplikasi ini ialah forum komuniti 24 jam yang dikendalikan oleh pentadbir dari NCSM, yang juga disokong oleh doktor dan pengasuh profesional. Para pentadbir ini mampu menawarkan khidmat nasihat dan rundingan kepada pengguna sepanjang masa.

Idea untuk membangunkan aplikasi ini datang daripada Christine Cheah di Telenor Youth Forum 2014. Beliau mempunyai keinginan untuk memperbaiki keadaan hidup pesakit kanser melalui kumpulan sokongan atas-talian, yang dihubungkan melalui sebuah aplikasi mudah-alih. Semenjak itu, Digi menjadi penggerak utama pembinaan aplikasi ini, dan menerusi kerjasama dengan NCSM, aplikasi Stronger Than Cancer ini akhirnya dapat direalisasikan.

Mereka yang kini berhadapan dengan kanser atau mengenali mana-mana pesakit kanser boleh meringankan beban dan menghapuskan kesunyian mereka dengan memuat-turun aplikasi Stronger than Cancer daripada Google Play Store untuk pengguna Android  dan daripada App Store untuk pengguna iOS.

Layari: Stronger Than Cancer


TIPS & ULASAN