Cari @ Amanz

Setiap tahun selepas model terkini iPhone memasuki pasaran, ura-ura rekaan untuk model tahun hadapan mula didengari. Terdapat industri kecil yang menghasilkan imej pengolokan model konsep untuk iPhone yang bakal dihasilkan. Selepas peranti prototaip dihasilkan, ia perlu diuji terlebih dahulu. Bagi mengelakkan rekaan peranti ujian ini tertiris, Apple menghasilkan kerangka khas untuk merahsiakan rekaan sebenar dari mata orang ramai.

Sonny Dickson yang sebelum ini meniriskan video sistem operasi awal iPhone yang menggunakan antaramuka iPod menunjukkan rekaan kerangka yang digunakan pada iPhone yang sedang diuji. Kerangka berwarna hitam ini menutupi keseluruhan peranti mempunyai pelakat yang menghalang pengguna dari membukanya. Terdapat pelekat dengan nombor pendaftaran serta kod QR. Setiap peranti ujian turut mempunyai “passport” yang menemaninya dari China sehingga ke Amerika Syarikat. Pada panel belakang peranti ujian, sebuah lagi kod QR diukir menggunakan laser bagi tujuan pengenalan.

Sungguhpun Apple menggunakan pelbagai kaedah untuk merahsiakan rekaan, ia tetap akan tertiris juga. Ini ialah masalah yang melanda semua pengeluar. Galaxy S8 yang cuba dirahsiakan oleh Samsung tertiris rekaannya lebih kurang sebulan yang lalu. Adakah anda ingin dikejutkan dengan rekaan pada hari pelancaran atau terus mahu melihat rekaan ditiriskan?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd