Pendatang asing sering dipersalahkan apabila anak watan gagal mendapat kerja. Kehadiran mereka tidak disenangi dan apabila berlaku kecelakaan di tempat kerja berita yang melibatkan imigran mudah dilupakan. Tetapi musuh utama bukanlah pendatang asing tetapi robot. Menjelang 2020, lima juta manusia akan kehilangan kerja kepada robot yang lebih pantas, produktif dan tidak pernah mengeluh.
Bill Gates di dalam temu ramah bersama QZ.com mengemukakan cadangan supaya robot yang menggantikan tugas manusia dikenakan cukai. Cukai dikenakan ke atas syarikat bagi melambatkan proses automasi di kilang yang berlaku terlalu pantas. Hasil cukai yang dikutip ini kemudian digunakan bagi melatih semula individu-individu yang kehilangan kerja. Cadangan Gates ini kedengaran sedikit aneh kerana ia boleh dianggap sebagai anti teknologi. Bagi seorang nama besar di dalam dunia teknologi dan pemilik Microsoft, saranan beliau ini amat menentang arus.