WhatsApp Web merupakan salah satu platform yang disediakan oleh pihak WhatsApp dalam memudahkan pengguna mengikuti perbualan WhatsApp terus pada skrin komputer dengan mudah. Ia telah diperkenalkan pada 2015 yang lepas, dan ketika pengenalan, WhatsApp menyokong keseluruhan platform yang ditawarkan aplikasi mudah-alihnya.
Walaubagaimanapun, kini dengan WhatsApp yang akan menamatkan sokongan aplikasi mereka bagi pengguna platform BlackBerry dan Symbian – mereka dilihat telah dalam persediaan awal dan menamatkan sokongan WhatsApp Web untuk pengguna platform berkenaan.
Berbeza dengan sebelum ini yang memaparkan kebolehan untuk log masuk menggunakan peranti BlackBerry atau Symbian, kini pihak WhatsApp tidak lagi memaparkannya – sekaligus memperlihatkan sokongan rasminya tidak lagi ditawarkan.
Bagi anda yang masih menggunakan kedua-dua platform berkenaan, anda dinasihatkan beralih ke platform lain seperti Android, iOS atau Windows Phone sekiranya ingin menggunakan WhatsApp. Sokongan penuh untuk aplikasi berkenaan bakal ditamatkan pada 30 Jun kelak.