Carian
Samsung Akan Membolehkan Anda Nyah-Kunci Peranti Windows 10 Menggunakan Pengimbas Cap Jari Pada Telefon
February 22, 2017 Aman

Samsung sebelum ini telah memperkenalkan Samsung Flow, sebuah aplikasi Windows 10 khusus untuk pengguna Galaxy TabPro S yang membolehkan pengguna nyah-kunci peranti berkenaan menggunakan sebarang telefon pintar Galaxy yang mempunyai pengimbas cap jari. Kini, aplikasi yang terhad untuk Galaxy TabPro S berkenaan dijangka bakal diperluaskan kepada semua pengguna Windows 10 tidak lama lagi.

Melaluinya kelak, pengguna hanya perlu memasang aplikasi berkenaan, dan boleh mengakses komputer dengan hanya mengimbas cap jari pada telefon pintar Galaxy mereka.

Selain daripada hanya mengakses peranti, pengguna juga turut boleh menyemak pelbagai notifikasi dengan mudah, membalas notifikasi daripada komputer, memindahkan kandungan dan sebagainya selepas telefon pintar berkenaan dihubungkan.

Perkara ini juga secara tidak langsung mungkin memberikan lebih sebab kepada pengguna perusahaan untuk mendapatkan peranti Samsung Galaxy – apatah lagi sekiranya pejabat mereka menggunakan komputer berasaskan Windows 10.

Samsung menyasarkan untuk memperkenalkan Samsung Flow ini untuk pengguna Windows 10 sekitar bulan April kelak – berkemungkinan selari dengan pengenalan Windows 10 Creator Update.

Komen