Cari @ Amanz

Teknologi realiti maya dan AR bukanlah teknologi baru  tetapi kedua-duanya kembali meletup sejak kebelakangan ini kerana semakin peranti dihasilkan yang menyokongnya. Samsung ialah pengeluar Gear VR yang kini merupakan peranti realiti maya nombor satu dunia. Di MWC yang bakal berlangsung kelak, Samsung Creative Labs akan memperlihatkan beberapa inovasi baru yang menggunakan teknologi realiti maya dan AR.

Pertama sekali ialah Relúmĭno yang menggunakan Gear VR sebagai alat untuk mempertingkatkan kemampuan melihat bagi golongan OKU penglihatan. Menerusi aplikasi Relúmĭno. OKU penglihatan boleh memperbaiki masalah rabun kronik dan titik buta pada penglihatan mereka.

Monitorless pula ialah kaca mata AR  yang membolehkan peranti pintar dan PC digunakan tanpa sebarang monitor. Paparan PC dan peranti pintar akan kelihatan terapung apabila menggunakan kaca mata khas ini. Monitorless juga boleh berfungsi sebagai peranti realiti maya untuk memainkan permainan komputer.

VuildUs pula ialah sistem pembayangan yang menggunakan kamera 360 darjah dan pengimbas 3D. Pengguna kemudian menggunakan sebuah Gear VR untuk melakukan rekaan dalaman rumah serta rekaletak perabot di dalam dunia realiti maya. Perabot boleh diletakkan di dalam imej pembayangan yang dihasilkan dengan ukuran yang tepat. Ini dapat membantu pemilik rumah untuk memilih perabot yang tepat untuk setiap bilik di dalam rumah.

Akhir sekali ialah traVRer yang membolehkan pengguna melawat sesuatu tempat secara realiti maya dengan menonton video 360 darjah. Dengan traVRer lawatan di dalam realiti maya terasa lebih realistik kerana video bergerak digabungkan dengan bunyi kawasan yang dilawati. Kesemua teknologi ni akan diperlihatkan sepenuhnya di MWC 2017 kelak. Nantikan laporan kami mengenainya hanya di Amanz.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd