Sistem aksesori modular Moto Mods yang dihasilkan oleh Lenovo ialah yang paling berjaya di pasaran sekarang. LG telah menyerah kalah dan tidak lagi meneruskan sistem modular LG G5 pada LG G6 yang akan dilancarkan hujung minggu ini. Bagi mereka yang telahpun membeli Moto Mods, anda boleh menghela nafas lega kerana ia akan disokong selama tiga tahun lagi oleh Lenovo.
Ini disahkan sendiri oleh Sharay Shams, pengurus besar bahagian peranti pintar Lenovo untuk Timur Tengah dengan temubual bersama The Express Tribune. Ini juga bermakna rekaan Moto Z untuk tiga tahun ke hadapan tidak akan melakukan perubahan bagi memastikan kesemua Moto Mods sedia ada akan terus dapat digunakan.
Lenovo akan melancarkan 12 Moto Mods baru tahun ini melalui kerjasama bersama Indiegogo. Hanya baru-baru ini Moto Mods radio dua hala dihasilkan. Bagi mereka yang memerlukan sistem modular, hanya Lenovo Moto Z dan Z Play adalah peranti yang sesuai untuk anda di pasaran.