Huawei P10 Hadir Dengan Kalis Percikkan Air, Turut Menggunakan Lensa Leica Untuk Kamera Hadapan

Huawei P10 Hadir Dengan Kalis Percikkan Air, Turut Menggunakan Lensa Leica Untuk Kamera Hadapan

Diterbitkan pada Feb 26, 2017 oleh .

Huawei hari ini secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka dibawah siri-P, iaitu Huawei P10. Ia membawakan evolusi rekaan dengan mengekalkan elemen rekaan Huawei sebelum ini. Huawei P10 hadir dengan binaan berasaskan logam, dan kini Huawei mengatakan ia tidak memerangkap kesan cap jari pada kerangka, menjadikan ia lebih menarik.

Huawei P10

Huawei P10 hadir dalam beberapa pilihan warna termasuk hitam, putih, merah jambu, emas seperti biasa – dan buat pertama kali mereka hadir dengan warna hijau dan biru hasil kerjasama dengan pihak Pantone Color Institute.

Huawei P10

Huawei P10 kini dilengkapi dengan pengimbas cap jari pada bahagian hadapan. Pengimbas cap jari ini turut hadir dengan fungsi dinamakan Smart Touch yang memudahkan anda bernavigasi dengan mudah melaluinya – lebih kurang seperti yang terdapat pada Huawei Mate 9 Pro sebelum ini. Huawei juga dilihat akhirnya menyertakan sokongan kalis percikkan air pada telefon pintar mereka, membolehkan Huawei P10 dan P10 Plus digunakan dalam keadaan basah tanpa risau seperti sebelumnya.

Pada Huawei P10, sekali lagi Huawei bekerjasama dengan Leica untuk bahagian kamera belakang. ia menyertakan kamera belakang gabungan 20-megapixel (mono) dan 12-megapixel RGB. Huawei turut menggunakan lensa Leica SUMMILUX-H Lens (F1.8) pada peranti ini, dan dikatakan menawarkan sokongan zoom hibrid sehingga 2 kali. Sokongan penstabilan imej optikal dan auto-fokus turut disertakan pada telefon pintar ini. Mod rakaman profesional turut disertakan dengan kebolehan output gambar dalam bentuk RAW.

Bercakap mengenai kamera juga, pihak Huawei menyertakan sebuah mod khusus dinamakan Leica Style Portraiture – memudahkan anda merakamkan gambar potrait dalam bentuk profesional dengan sangat mudah. Ia dijayakan melalui pengimbasan wajah 3D, sekaligus membolehkan pengguna merakamkan gambar potrait seumpama dalam studio.

Huawei P10

Menariknya, pada Huawei P10, pihak Huawei kini turut menggunakan penjenamaan Leica pada kamera hadapan – dan bukan hanya pada kamera belakang seperti P9 sebelum ini. Huawei P10 menggunakan kamera Leica hadapan dengan aperture F1.9, dan menawarkan rakaman yang lebih baik pada keadaan cahaya rendah.

Dari segi spesifikasi, Huawei P10 hadir dengan skrin bersaiz 5.1-inci dengan paparan 1080p, dijana menggunakan cip pemprosesan Kirin 960, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB. Menjana peranti ini adalah bateri berkapasiti 3200mAh.

Huawei P10 Plus pula merupakan telefon bersaiz sedikit besar, hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci, penawaran skrin pada resolusi sehingga 2K, cip Kirin 960, memori 6GB RAM, ruangan storan 128GB, dan bateri berkapasiti 3750mAh.

Seperti biasa, ia hadir menggunakan sistem operasi Android dengan antaramuka khusus EMUI 5.1. Huawei P10 yang hadir dengan pelbagai warna turut dioptimasikan dengan tema berwarna khusus. Huawei turut menekankan kepada sokongan pembelajaran mesin yang hadir pada EMUI, membolehkan peranti kekal pantas sehingga 18 bulan – berbeza dengan pelbagai peranti lain. Huawei menekankan P10 membuka sesuatu aplikasi 30% lebih pantas berbanding pengeluar lain.

Huawei turut mengatakan yang mana Huawei P10 adalah telefon pertama di dunia yang hadir dengan sokongan rangkaian 4.5G – menawarkan sambungan rangkaian yang sangat kuat pada bila-bila masa melalui teknologi 4×4 MIMO. Fungsi Huawei Super Charge turut disertakan pada Huawei P10, dan sekali pengecasan penuh membolehkan peranti ini digunakan untuk tempoh sekitar 1.8 hari.

Huawei P10

Melengkapkan pengenalan Huawei P10 ini adalah beberapa aksesori seperti aksesori untuk menggunakan peranti dalam kenderaan, kerangka khusus hasil kerjasama Leica, dan pelbagai kerangka khusus untuk P10.

Kedua-dua peranti ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Huawei menyasarkan untuk menjualnya bermula bulan Mac 2017 kelak.


TIPS & ULASAN