Sony Xperia XZ Premium Hadir Dengan Panel 4K – Kamera Menyokong Rakaman Gerak-Perlahan “Super”

Sony Xperia XZ Premium Hadir Dengan Panel 4K – Kamera Menyokong Rakaman Gerak-Perlahan “Super”

Diterbitkan pada Feb 27, 2017 oleh .

Sony selain daripada memperkenalkan siri-XA baru, mereka juga turut memperkenalkan telefon pintar berspesifikasi tinggi terbaru mereka, iaitu Xperia XZ Premium.

Dua perkara menjadi fokus pihak Sony melalui telefon pintar ini, iaitu sokongan skrin dan juga kebolehan rakaman gambar gerak perlahan.

Sony Xperia XZ

Pada sokongan skrin, ia menyertakan panel 4K HDR, yang mana membolehkan pengguna menikmati kandungan 4K HDR daripada Amazon Prime tanpa masalah melalui skrin mudah-alih – dan menikmati kejelasan yang sangat baik melaluinya. Kita mungkin akan dapat melihat Sony mengoptimasikan paparan supaya tidak mengaktifkan 4K sepanjang masa untuk menjimatkan bateri – lebih kurang seperti apa yang pernah mereka lakukan pada Xperia Z5 Premium.

Disamping itu, Sony kini menyertakan sebuah sensor rakaman gambar dengan kebolehan rakaman gambar gerak-perlahan pada kadar 960fps – yang tertinggi dalam industri. Sony memanggilnya sebagai Motion Eye yang mampu merakam gerakan sesuatu objek dengan baik dan memprosesnya dengan pantas pada telefon pintar.

Dari segi spesifikasi, Xperia XZ Premium menggunakan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan 4K HDR, dijana menggunakan cip Snapdragon 835, memori sehingga 4GB RAM, ruangan storan 64GB, dan dilengkapi bateri berkapasiti 3230mAh.

Ia menggunakan kamera belakang 19-megapixel Exmor RS dengan keupayaan rakaman gerak-perlahan 960fps, dan juga rakaman video 4K. Untuk kamera hadapan, ia kini menggunakan kamera 13-megapixel.

Sony turut mengambil kesempatan dalam memperkenalkan satu lagi telefon pintar menggunakan sokongan kamera lebih kurang sama, iaitu Xperia XSs.

Sony Xperia Xss menggunakan skrin 5.2-inci, dijana menggunakan cip Snapdragon 820, memori 4GB RAM, ruangan storan sehingga 64GB, dan bateri berkapasiti 2900mAh. Ia menggunakan kamera belakang 19-megapixel dengan sokongan rakaman gerak-perlahan 960fps, dan rakaman 4K. Pada bahagian hadapan ia menggunakan kamera 13-megapixel.

Kedua-duanya dilengkapi sokongan kalis air dan debu, selain menyertakan pengimbas cap jari pada butang kuasa.


TIPS & ULASAN