Cari @ Amanz

Wiko, pembuat peranti pintar dari Perancis sudah bertapak di Malaysia buat setahun. Mereka dikenali untuk peranti-peranti kelas pertengahan dan murah yang boleh dibeli oleh orang ramai. Terkini bersempena dengan Mobile World Congress, Wiko baru sahaja memperkenalkan siri peranti terbaru mereka, Wiko WIM. Siri ini terdiri daripada dua peranti, Wiko WIM dan Wiko WIM Lite.

Wiko WIM hadir dengan rekaan yang diperbuat daripada logam. Ia mempunyai skrin paparan AMOLED bersaiz 5.5 inci, dengan resolusi HD penuh 1920×1080 yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 625. Dalam pada itu, peranti ini juga mempunyai RAM sebanyak 4GB dan storan sebesar 64GB, yang boleh dilanjutkan lagi menggunakan kad microSD.

Bagi Wiko, ciri utama Wiko WIM ini ialah kameranya. Peranti ini mempunyai sistem dwi-kamera 13MP yang menggunakan teknologi Qualcomm ClearSight. Kamera Wiko WIM ini terdiri daripada sebuah sensor monokrom 13MP dan sebuah sensor RGB 13MP – lebih kurang seperti yang terdapat pada peranti keluaran Huawei.

Bukan itu sahaja, kamera Wiko WIM ini juga mampu merekod video sela-masa, gerak-perlahan dan juga video pada resolusi 4K. Jika anda risau tangan anda berketar sewaktu rakaman, kamera tersebut juga mempunyai teknologi Optical Image Stabilization (OIS) yang membantu anda menstabilkan rakaman anda.

Wiko WIM ini hadir dengan bateri sebesar 3200mAh, dan menggunakan teknologi pengecasan pantas Qualcomm yang membolehkan bateri ini dicas sehingga 60 peratus dalam masa 30 minit.

Wiko WIM Lite pula merupakan model yang sedikit kecil daripada Wiko WIM, iaitu dengan skrin paparan bersaiz 5.2 inci, dan resolusi HD penuh. Peranti ini pula dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 435, dengan memori 3GB dan storan 32GB yang juga boleh dilanjutkan dengan menggunakan kad microSD.

Dari segi kamera pula, Wiko WIM Lite ini mempunyai kamera 23-megapixel, dan kamera pertama 16MP. Saiz bateri peranti Wiko WIM Lite pula 3000mAh, tidaklah begitu jauh daripada saiz bateri Wiko WIM.

Buat masa ini, kita masih belum ketahui bilakah peranti siri Wiko WIM dan WIM Lite ini akan dilancarkan, dan sama ada mereka akan hadir di pasaran Malaysia. Apa-apa pun, kami akan mengemaskini laporan tentang ketersediaannya apabila kami mendapat berita tentang maklumat tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd