Netflix Memperlihatkan Beberapa Fungsi Baru – Termasuk Sokongan HDR Pada Telefon

Netflix Memperlihatkan Beberapa Fungsi Baru – Termasuk Sokongan HDR Pada Telefon

Diterbitkan pada Mac 1, 2017 oleh .

Semenjak Netflix mengumumkan keterbukaan perkhidmatan penstriman mereka di serata dunia, mereka telah melakukan pelbagai kemaskini untuk memastikan pelanggan-pelanggan mereka mendapat khidmat yang terbaik.

Ini termasuklah memasang server-server kandungan baru di pelbagai lokasi di seluruh dunia, pengumuman ciri memuat turun siri kepada peranti mudah-alih, dan juga kebolehan untuk menyimpannya di dalam kad microSD.

Terkini, Netflix bakal mengumumkan beberapa ciri-ciri terbaru yang dikhususkan untuk aplikasi mudah-alih perkhidmatan penstriman video tersebut.

Salah satu daripada ciri-ciri ini termasuklah penggunaan teknologi pengekodan terbaru, yang menggunakan codec open-source VP9 yang dimajukan oleh Google.

Daripada demonstrasi yang ditunjukkan oleh pihak Netflix, mereka menunjukkan bahawa dalam kemaskini yang akan datang ini, para pelanggan Netflix bakal mendapat strim yang berkualiti tinggi dengan penggunaan bandwidth yang sangat rendah.

Teknologi ini membolehkan pelanggan menstrim siri TV di Netflix menggunakan data selular tanpa perlu terlalu risau mengenai had data.

Dalam pada itu, pihak Netflix juga mengumumkan bahawa perkhidmatan tersebut bakal hadir dengan ciri penstriman HDR (High Dynamic Range) untuk peranti mudah-alih yang menyokongnya.

Ciri ini pada mulanya hanya hadir pada televisyen yang mempunyai sokongan HDR, tetapi Netflix bakal membawanya ke peranti pintar juga. Menurut juru-cakap Netflix, pada masa ini, satu-satunya peranti pintar yang menyokong ciri HDR ini ialah LG G6.

Menurut jurucakap Netflix, ciri-ciri ini bakal dikemaskini pada aplikasi mudah-alih Netflix dalam beberapa bulan akan datang.

Malang sekali, buat masa ini, kami masih tidak tahu bila mereka akan memasukkan siri animasi Voltron ke katalog Netflix Asia.


TIPS & ULASAN