TCL Mungkin Hadir Dengan Peranti Berjenama “Palm”

TCL Mungkin Hadir Dengan Peranti Berjenama “Palm”

Diterbitkan pada Mac 1, 2017 oleh .

PalmTCL merupakan salah satu pengeluar yang mempunyai beberapa jenama dibawah mereka – sama ada milik sendiri, atau dilesenkan oleh mereka, termasuk Alcatel, Flash, dan BlackBerry. Tidak dilupakan juga adalah jenama Palm yang telah dibeli oleh TCL pada tahun 2015 lepas.

Bagi anda yang tidak mengenali akan Palm, ia merupakan salah satu syarikat pengeluar peranti yang popular dengan penawaran PDA mereka. Palm terkenal untuk beberapa produk mereka, termasuk perisian WebOS – yang mana boleh dikatakan menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik ketika ia dibawah Palm sekitar sedekad yang lepas. Syarikat ini kemudiannya diambil-alih oleh HP, dan kini jenama berkenaan dimiliki oleh TCL.

Melalui temuramah bersama CNet, pihak TCL seperti memberikan petanda yang mana mereka mungkin akan kembalikan jenama berkenaan melalui peranti pintar. Perkara ini sedia diperkatakan mereka ketika pengambil-alihan jenama Palm pada 2015 lepas, tetapi sehingga kini tiada sebarang perkembangan untuknya.

Apa pun, untuk tahun ini, ia dikatakan TCL lebih memfokuskan kepada peranti berjenama BlackBerry. Bercakap mengenai Palm sendiri, pelbagai perkara perlu dilihat – dan termasuk adakah TCL akan memilih Android untuk menguasakan peranti dibawah jenama berkenaan, ataupun adakah mereka akan bekerjasama dengan LG untuk melesenkan webOS.

Dengan pelbagai syarikat mengembalikan nostalgia – seperti Nokia 3310, ataupun S-Pen terbaru daripada Samsung, adakah penggunaan peranti berjenama Palm akan dapat membuatkan ia popular kembali?


TIPS & ULASAN