Cari @ Amanz

Telefon pintar menggunakan dua skrin, iaitu pada bahagian hadapan dan belakang bukan sesuatu yang baru. Sebelum ini, ia telah dipopularkan oleh YotaPhone, dan kini pihak HiSense turut hadir dengan penawaran mereka tersendiri.

Seperti telefon keluaran Yota, HiSense menggunakan skrin hadapan berwarna, dan skrin belakang hitam putih dalam usaha menjimatkan penggunaan bateri.

HiSense A2

HiSense A2

HiSense memanggil telefon pintar ini sebagai A2. Ia hadir menggunakan skrin hadapan 5.5-inci pada resolusi penuh dan menggunakan panel AMOLED, sebaliknya skrin belakang adalah skrin 5.2-inci e-ink. Ia dilengkapi cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 430, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB. Untuk rakamna gambar, telefon HiSense A2 ini menggunakan kamera belakang 16-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel.

Peranti ini menggunakan sistem operasi Android, dan pihak HiSense menyertakan penambahan antaramuka, termasuk fungsi tambahan dalam mengawal skrin belakang.

Dari segi penggunaan, skrin boleh diaktifkan hadapan atau belakang menggunakan butang kuasa sama. HiSense mengawalnya melalui penggunaan sensor tambahan yang mengenal-pasti cahaya daripada bahagian atas, dan ia akan mengaktifkan skrin yang sepatutnya.

Disamping itu, pihak HiSense turut menyertakan menu khusus dalam mengaktifkan paparan belakang. Berbeza dengan Yotaphone yang terhad fungsinya pada skrin belakang, melalui telefon HiSense A2 ini, pengguna boleh menggunakan ciri penuh telefon dan sistem operasi Android pada skrin hitam-putih.

Malah, HiSense turut menyertakan fungsi selfie khusus – memandangkan anda masih dapat melihat wajah pada bahagian belakang kamera melalui skrin belakang.

Buat masa ini, kami masih tidak mengetahui harga penawaran, dan tarikh jualan telefon pintar ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd