MWC menyaksikan pengumuman pelbagai peranti mudah-alih baru, dan salah satu yang mencuri perhatian adalah Nokia 3310. Kini, menariknya di Russia, sebuah syarikat yang memfokuskan penawaran peranti mewah turut hadir dengan sebuah variasi yang dinamakan sebagai Nokia 3310 “Supremo Putin”.
Peranti ini bersempena dengan Vladimir Putin, presiden Russia, dan turut menyertakan integrasi butang berasaskan kepada emas, selain beberapa penambahan yang lain. Ia turut hadir dalam sebuah kotak kayu khusus untuknya.
Kami kurang pasti berkenaan dengan kerjasama pihak Caviar yang menghasilkan peranti ini dengan HMD Global yang mempunyai hak untuk pemasaran peranti berjenama Nokia. Sebelum ini, kita sering dapat melihat Vertu mengeluarkan variasi peranti Nokia mewah – tetapi ini kerana ia telah dimulakan oleh Nokia, dan seterusnya dijual kepada pelabur lain.
Bercakap mengenai harga, Nokia 3310 “Supremo Putin” ini berharga 99,000 Russian Rubles (~RM7750) – yang mana boleh dikatakan sangat mewah jikalau dibandingkan dengan penawaran hanya sebuah variasi peranti Nokia 3310 (2017) sahaja.