Ingin Membeli External Hard Disk? Ini 6 Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Ingin Membeli External Hard Disk? Ini 6 Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Diterbitkan pada Mac 9, 2017 oleh .

Jika anda seorang yang sering memuat-turun media, ataupun seorang pereka/jurugambar yang banyak bekerja dengan media digital, anda pasti tergerak mahu membeli external hard disk untuk kegunaan di tempat kerja dan di rumah.

External hard disk ini sangat berguna jika anda sering menggunakan komputer riba, dan bertugas di luar pejabat. Bukan sahaja anda dapat menggunakan storan tersebut pada mana-mana komputer, tetapi anda juga boleh mengurangkan beban data pada komputer anda sendiri.

Teknologi storan kini sudah berkembang dengan pesat, dan anda mempunyai pilihan yang agak banyak sekiranya ingin membeli sebarang external hard disk ini. Dalam artikel ini, kita akan melihat beberapa perkara yang anda perlu ambil perhatian sebelum membeli perkakasan tersebut.

Rekabentuk Dan Saiz Storan

10 tahun dahulu, jika anda ingin membeli sebuah external hard disk, anda akan perlu membeli dua benda : cangkerang cakera keras, dan kerangka luaran yang anda akan gunakan sebagai peranti storan. Ini adalah kerana pada waktu tersebut, cakera keras yang kecil hanya mempunyai jumlah storan yang sangat kecil berbanding cakera keras yang besar, dan harganya sangat tidak berbaloi.

Hari ini, external hard disk yang kecil mampu menampung jumlah storan yang cukup besar. Bergantung kepada keperluan anda, anda boleh memilih saiz storan yang berbeza. Pada pendapat kami, harga storan digital kini sudah cukup murah untuk anda abaikan sahaja apa-apa external hard disk yang hanya mempunyai jumlah storan yang lebih rendah daripada 512GB.

Dengan harga sekitar RM500, anda boleh membeli external hard disk yang mempunyai storan sebanyak 2TB, dan jumlah storan ini adalah cukup untuk menampung semua fail muat-turun ataupun fail kerja anda buat suatu jangkamasa yang agak lama.

Tips : Beli external hard disk dengan storan lebih daripada 512GB. Saiz 2TB adalah memadai untuk pengguna biasa yang jarang berurusan dengan fail seperti video 4K dan sebagainya.

USB 3.0/Thunderbolt

Dengan jumlah storan yang besar, anda juga perlu mengambil kira tentang kelajuan pemindahan fail daripada komputer anda kepada external hard disk tersebut. Sambungan USB 2.0 telah menjadi piawaian biasa untuk sekian lama. Tetapi dengan saiz storan yang lebih besar, anda kini perlu mula fikir untuk mendapatkan sambungan yang membenarkan anda memindah fail yang besar dengan lebih laju dan stabil.

Sambungan USB 3.0 merupakan piawaian yang agak popular sekarang dan digunakan pada pelbagai external hard-disk masa kini. Ini berlaku kerana beberapa sebab yang agak mudah. USB 3.0 kini merupakan sambungan pilihan bagi banyak pembuat papan induk untuk komputer dan juga komputer riba. Sambungan USB 3.0 (640MB/s) ini juga merupakan sambungan yang berkali ganda lebih laju daripada USB 2.0 (~60MB/s), disamping mampu memberikan peranti storan tersebut kuasa yang lebih. Jadi anda hanya perlu menggunakan satu port USB untuk menguasakannya, tidak seperti USB 2.0 yang mungkin memerlukan kuasa yang lebih dari satu port USB.

Satu lagi piawaian baru yang sedang meningkat dari segi penggunaannya ialah Thunderbolt 3.0 – menggunakan port fizikal USB 3.1 Type-C. Sambungan ini mempunyai kelajuan pemindahan fail yang terpantas setakat ini pada kadar 4.0GB/s. Penggunaan port USB 3.1 Type-C ini juga bukan sahaja membolehkan pengguna mengecas peranti pintar dengan lebih laju.

Buat masa ini, terdapat beberapa pembuat komputer riba yang menyokong teknologi sambungan ini, seperti Apple, Dell, HP dan Acer, akan tetapi penularan peranti storan yang mampu menyokong teknologi ini masih tidak begitu pesat.

Tips : Beli external hard disk mengikut sambungan pada komputer riba atau komputer anda. Kebiasaanya, USB 3.0 akan menggunakan warna biru pada port mereka berbanding USB 2.0 yang hitam. Sekiranya anda menggunakan komputer terkini dengan sokongan Thunderbolt, mungkin anda boleh mendapatkan external hard disk dengan sokongan tersebut.

Sokongan Sistem Fail

Sebelum ini, banyak pengeluar external hard disk memisahkan produk-produk mereka. Ini kerana Windows menggunakan format NTFS (New Technology File System) dan FAT32 (File Allocation Table), manakala macOS pula menggunakan format HFS dan HFS Plus (Hierarchichal File System)..

Pada masa dahulu, ini adalah salah satu masalah terbesar apabila menggunakan atau membeli external hard disk. Hari ini anda tidak perlu terlalu risau mengenai perkara ini kerana sistem-sistem operasi moden, termasuklah Windows 7, 8, 10, MacOSX dan juga Linux semuanya boleh membaca format exFAT.

Kami boleh menerangkan secara mendalam kenapa sistem fail exFAT patut menjadi pilihan anda sewaktu anda mengformat external hard disk anda, tetapi secara pokoknya, exFAT merupakan sistem fail yang cukup ringkas, menyokong semua sistem operasi moden, dan tidak mempunyai had saiz sesuatu fail pada 4GB yang dihadapi FAT32.

Jika anda membeli sebuah external hard drive, anda boleh bertanya kepada orang kedai tentang sistem fail yang digunakan oleh external hard disk pilihan anda. Kebiasaannya, jika anda membeli peranti storan untuk MacOS, ia akan sedia dilengkapi dengan sistem fail exFAT, tetapi jika ianya dikhususkan untuk system operasi Windows, ada kemungkinan ia akan hadir dengan sistem fail NTFS.

Tips : Semak sistem fail yang disokong oleh external hard-disk anda. Kalau boleh, pastikan ia menggunakan sistem exFAT.

Pilihan Ciri-Ciri Khusus

Untuk kekal relevan di arena teknologi hari ini, pengeluar hard disk kini membuat produk mereka dengan pelbagai ciri-ciri baru yang kita tidak tahu pun kita mahukan pada external hard disk atau tidak.

Salah satu daripada ciri-ciri istimewa yang gemar digunakan pada external hard disk ini ialah ciri tahan lasak. Jika anda jenis yang selalu jatuhkan peranti dari atas meja, anda mungkin boleh cuba mencari external hard disk dengan ciri ini.

Satu lagi ciri baru yang semakin popular dengan pembuat-pembuat external hard disk kini ialah sambungan WiFi, yang membenarkan anda menyambung external hard disk anda kepada komputer riba anda tanpa perlu menggunakan sebarang wayar.

Cara kebanyakan jenama melakukan sambungan WiFi ini adalah sama ada melalui memasang WiFi AP pada external hard drive tersebut, ataupun menggunakan teknologi Bluetooth. Kelajuan pemindahan fail menggunakan sambungan WiFi ini tidaklah selaju dan stabil seperti sambungan USB, tetapi jika anda mempunyai jumlah port USB yang sangat sedikit, seperti pada peranti komputer-tablet, ia dapat sedikit sebanyak meringankan beban daripada perlu membawa dongle USB yang memberatkan beg.

Jika anda seorang jurugambar, anda pasti ingin memindahkan gambar-gambar anda dari kad SD anda kepada peranti storan dengan pantas. Kini, jenama-jenama seperti Western Digital ada penyelesaian untuk anda, kerana beberapa model external hard disk mereka mempunyai slot untuk kad SD, yang membolehkan pengguna memindahkan fail daripada kad tersebut kepada external hard disk secara automatik, tanpa perlu menggunakan komputer.

Tips : Kebiasaannya fungsi tambahan ini hadir dengan harga tambahan. Pastikan anda memerlukan ciri ini kerana versi biasa tanpanya selalunya dijual pada harga yang lebih rendah.

Keselamatan Fail


Keselamatan fail merupakan sesuatu yang sepatutnya menjadi faktor utama sewaktu seseorang itu bercadang untuk membeli sebuah external hard disk ataupun sebuah pemacu USB. Malangnya, ramai orang tidak begitu mementingkan keselamatan data mereka, maka aspek tersebut tidak difikir begitu penting buat mereka.

Sayang sekali, jenama-jenama pembuat external hard disk ini juga tidak selalunya hadir dengan perisian sekuriti yang mampu melindungi data anda dari dicuri, jadi ada kemungkinan anda perlu melakukannya dengan sendiri.

Jika anda mahukan solusi yang percuma, ada beberapa pilihan perisian sekuriti yang anda boleh gunakan untuk memastikan data anda selamat. Jika anda menggunakan sistem operasi Windows 7.1 Ultimate Edition, ataupun Windows 8.1 dan 10 Professional, anda boleh menggunakan perisian Bitlocker yang terbina di dalam Windows untuk menyulitkan fail-fail anda. Jika tidak, ada juga perisian yang percuma anda boleh gunakan perisian seperti VeraCrypt.

Keselamatan fail sangat penting, dan ada kemungkinan bahawa external hard disk yang anda beli tidak akan hadir dengan sebarang perisian keselamatan – sekaligus membolehkan pencuri mengakses data anda dengan mudah. Jadi anda perlulah membuat sedikit penyelidikan untuk memastikan keselamatan data anda bergantung kepada apa yang ingin anda simpan pada peranti anda kelak.

SSD Sebagai External?

Trend terbaru di industri storan ialah menggunakan SSD sebagai sebuah external drive – seperti mana mereka dahulunya menggunakan hard drive untuk komputer desktop sebagai storan luaran.

Kini, syarikat seperti Transcend ada menjual cangkerang external untuk SSD berukuran 2.5 inci yang membolehkan anda menggunakan SSD yang terbiar sebagai sebuah external hard drive. Cangkerang ini juga menggunakan sambungan USB 3.0 untuk memindahkan data, jadi anda masih mampu mendapatkan kelajuan yang tidak terlalu jauh daripada kelajuan SATA III.

Jika anda ingin membeli SSD yang dibina khusus untuk kegunaan sebagai external drive, Transcend ESD400 mempunyai jumlah storan sebesar 1TB, manakala Samsung pula mempunyai Samsung Portable SSD T3 dengan pilihan saiz SSD sebesar 2TB, dan ini pastinya akan menjadi pilihan anda sekiranya anda ingin sebuah peranti storan yang sangat pantas.

Tips : Kelebihan menggunakan SSD berbanding storan traditional seperti HDD ialah SSD tidak mempunyai komponen mekanikal yang bergerak, jadi jika ia jatuh, sebuah SSD mempunyai kebarangkalian untuk rosak yang lebih rendah berbanding dengan HDD


Diharap artikel ini dapat sedikit sebanyak memberikan anda gambaran tentang perkara-perkara yang anda boleh titik-beratkan sebelum membeli sebuah peranti external hard disk.


TIPS & ULASAN