Carian
#Tips : Menyelesaikan Masalah Tiada Audio Apabila Menstrim Kandungan iFlix HD Ke Chromecast
March 9, 2017 Effi Saharudin

Sokongan penstriman kandungan HD dilancarkan secara rasmi oleh iFlix minggu lalu. Selain penstriman rancangan pada resolusi 720P, iFlix juga menyokong audio yang berkualiti lebih tinggi. Sejak hari pertama kami menyedari wujud masalah tiada audio apabila menonton rancangan HD menerusi Chromecast. Pihak iFlix mengesyorkan supaya kami memasang semula aplikasi pada peranti pintar tetapi masalah masih berterusan.

Berikut ialah cara mudah yang kami temui untuk menyelesaikan masalah ini.

  1. Pertama sekali anda perlu menyahpasang kemudian memuat turun semula aplikasi iFlix.
  2. Hidupkan televisyen dan tunggu sehingga Chromecast bersedia untuk menerima isyarat dari peranti pintar.
  3. Pilih kandungan HD yang ingin dimainkan pada aplikasi iFlix di peranti pintar.
  4. Tekan butang Play.
  5. Apabila video mula dimainkan pada peranti pintar, tekan butang Cast pada bucu atas sebelah kanan skrin.
  6. Sekarang audio akan dapat didengari dari televisyen

Kami telah mencuba jalan penyelesaian ini pada tiga Chromecast dan tiga set televisyen berbeza. Di dalam ketiga-tiga ujian, masalah ketiadaan audio berjaya diselesaikan.

Sungguhpun begitu sekiranya anda menukar ke rancangan/filem kandungan HD yang lain, audio akan hilang semula. Hentikan Casting serta merta dan ulang semula dari langkah nombor 3 untuk kandungan baru yang ingin distrim.

Kami telah menghubungi pihak iFlix dan mereka menyedari akan kewujudan pepijat audio ini. Pihak mereka sedang berusaha untuk menyelesaikannya secepat mungkin. Apabila ia berjaya diselesaikan kami akan melaporkannya juga pada kadar pantas.

Komen