iBuyPower Snowblind – Aksesori Skrin LCD Untuk Sisi Menara PC

iBuyPower Snowblind – Aksesori Skrin LCD Untuk Sisi Menara PC

Diterbitkan pada Mac 12, 2017 oleh .

Semasa di kolej hampir dua dekad yang lalu kami aktif melakukan kustomasi PC. Menara PC Lian Li yang dibeli diubah suai dengan lampu CCFL dan kabel reaktif bagi membuatkannya kelihatan agresif. Saban tahun apabila ada LAN Party yang dianjurkan di kolej, ramai berhabis duit untuk menghias PC mereka untuk dipamerkan.

iBuyPower Snowblind ialah aksesori yang tidak wujud zaman kami masih muda remaja dan teruna. Ia adalah skrin LCD lutcahaya yang digunakan sebagai ganti panel plastik yang diletakkan pada sisi menara PC sedia ada. Snowblind membenarkan grafik dipaparkan pada sisi menara dengan sokongan warna. Panel LCD 4:3 dengan kaca tertempa ini menyokong resolusi 1280×1024 pixel. Secara teori ia boleh digunakan sebagai skrin komputer biasa tetapi kerana ia lutcahaya, pihak iBuyPower tidak menyarankannya.

Buat masa ini panel Snowblind ini tidak dijual berasingan dan dijual bersama sistem lengkap yang dijual oleh iBuyPower. Harga sistem PC yang dijual bermula dari $1549 (~RM 6897) dengan pemproses Intel Core i5, RAM 8GB  dan kad grafik Nvidia GeForce GTX 1070 8GB.


TIPS & ULASAN