MWC 2017 : Kodak Ektra

MWC 2017 : Kodak Ektra

Diterbitkan pada Mac 13, 2017 oleh .

Kodak merupakan antara jenama yang tertua dan popular dalam menghasilkan kelengkapan berkaitan kamera. Dari negatif filem sehinggalah kepada peranti kamera, nama Kodak sinonim dengan industri fotografi. Dalam mengejar dan mempopularkan semula jenama ini, mereka hadir dengan Kodak Ektra, iaitu telefon pintar dengan fokus terhadap fotografi.

Rekaan & Spesifikasi

Kodak Ektra
Skrin 5-inci 1080p
Pemproses MediaTek Helio X20
Memori 3GB RAM
Storan 32GB  + Kad Mikro-SD
Kamera Utama 21 MP / Rakaman Video 4K
Kamera Depan 13 MP
Sistem Android 6.0
Bateri 3,600 mAh
Ciri-ciri Rekaan seakan-akan kamera

Dari segi rekabentuk, ia hadir sedikit tebal dan lensa besarnya menambah ketebalan telefon pintar ini. Ia beroperasi menggunakan Android Marshmallow dan mempunyai paparan 5-inci 1080p. Ia beroperasi menggunakan MediaTek Helio X20 dengan 3GB RAM, serta storan terbina 32GB. Kapasiti baterinya sebesar 3,000 mAh dan kamera hadapannya 13MP f/2.2. Satu ciri kelainan yang terdapat pada telefon ini adalah terdapatnya bahagian untuk memegang peranti ini dengan lebih stabil, sama seperti peranti Android yang memfokuskan kepada penggunaan kamera seperti Samsung Galaxy Camera.

Kodak Ektra mengambil namanya dari versi kamera Kodak yang dicipta pada tahun 1941. Ia hadir dengan kemasan seakan-akan kulit pada bahagian utama peranti ini, dengan lensa besar yang terjojol keluar. Rekaan lensa ini walaubagaimanapun bukanlah boleh diputarkan atau diperpanjangkan untuk memfokus. Ia memuatkan cip pengimejan Sony IMX230 21MP f/2.0 yang turut dilengkapi dengan penstabil imej optikal (OIS) serta memyokong rakaman 4K. Selain dari itu, butang kawalannya juga mempunyai rekaan seakan-akan yang terdapat pada kamera biasa, bagi menunjukkan fokus terhadap fotografi.

 

Fokus Terhadap Fotografi

Melengkapkan fokus terhadap fotografi, kawalan rakamannya juga mempunyai paparan kamera yang telah diubah supaya mirip dengan kawalan yang biasa terdapat pada kamera. Terdapat tombol dial yang boleh ‘diputarkan’ (secara sentuh) untuk memilih mod rakaman gambar yang diinginkan. Mod seperti Manual, Panorama, Bokeh, Landscape dan sebagainya memberikan kebebasan untuk pengguna memanipulasi dan mendapatkan gambar seperti yang diinginkan. Pengguna boleh juga menetapkan Shutter & Aperture sesudah memilih mod menerusi bar mendatar.

Sewaktu mencuba fungsi kamera yang terdapat pada Kodak Ektra, meskipun terdapat pelbagai kawalan dan juga susunatur tetapan antaramuka yang lebih mudah difahami, aplikasinya dilihat sedikit tidak responsif. Terdapat sela masa untuk melancarkan kamera dan memfokus, dan ini adalah kelemahan yang tidak seharusnya terdapat pada telefon pintar yang memfokuskan kamera sebagai fungsi utamanya.

Malah bagi merakam gambar pada fungsi Bokeh, arahan yang diberikan sedikit mengelirukan, dimana ia akan merakam gambar objek hadapan, dan kemudian objek dibelakang. Kesan bokeh-nya juga dilihat tidak sebegitu sempurna dan terlalu dibuat-buat malah akan mengambil sedikit masa bagi pemprosesan gambar tersebut dilakukan. Ini jelas berbeza dengan telefon pintar lain yang memfokuskan selfie yang turut mengetengahkan fungsi Bokeh, dimana telefon lain dapat memprosesnya dengan pantas.

Gambar yang dirakamkan boleh disunting pengguna menggunakan Snapseed yang diintegrasikan secara terus pada Kodak Ektra. Dengan aplikasi suntingan gambar sebegini, ia boleh memberikan pelbagai pilihan suntingan tambahan, yang boleh mencantikkan lagi gambar.

Buat masa ini, tiada sebarang maklumat berkenaan kesediaan telefon pintar ini untuk pasaran tempatan. Meskipun ia berjenama Kodak, ia direka oleh Bullitt Group, yang turut memperkenalkan telefon tahan lasak CAT pada MWC tahun lalu. Namun sehingga kini, tiada kepastian berkenaan kesediaan telefon-telefon yang dihasilkan mereka di pasaran tempatan. Kodak Ektra dijual pada harga 449 GBP (~ RM 2,400) dan pada harga tersebut, mungkin ia agak mahal untuk jenama yang masih baru diperkenalkan di pasaran dan mempunyai prestasi yang belum jelas dibuktikan..


TIPS & ULASAN