Kemaskini Creators Update untuk Windows 10 semakin hampir dan Microsoft baru sahaja berkongsi lanjut mengenai ciri-ciri baru yang bakal disertakan pada kemaskini sistem operasi Windows berkenaan.
Terkini, nampaknya perisian keselamatan Windows Defender akan diberikan kemaskini dan menyertakan beberapa ciri-ciri yang baru. Ini termasuklah pengenalan sensor pada tahap kernel perisian dan juga memori, untuk memastikan penggodam tidak boleh menyerang komputer pengguna pada tahap ini dan juga melindungi pengguna daripada serangan Day-0.
Windows Defender juga akan menggunakan teknologi pembelajaran mesin, untuk memastikan ancaman-ancaman lepas selama enam bulan diperbaiki, dan memastikan ancaman yang sama tidak berulang lagi.
Dalam pada itu, dengan kemaskini baru ini juga, Windows Defender akan membantu jurutera keselamatan untuk menghalang fail-fail yang merbahaya daripada rangkaian pejabat, dan mengambil data forensik daripada komputer yang dijangkiti supaya fail tersebut tidak lagi merebak ke komputer-komputer yang lain.
Menurut Microsoft, kemaskini Creators Update akan hadir tidak lama lagi, dengan beberapa spekulasi mengatakan ia akan hadir pada bulan hadapan.