Cari @ Amanz

TAG Heuer melancarkan jam tangan Android Wear terkini mereka semalam. Jam tangan TAG Heuer Connected Modular 45 ini unik kerana boleh berubah menjadi sebuah jam tangan analog dengan mudah kerana rekaannya yang modular.

Komponen pintar Connected Modular 45 terdiri daripada skrin 1.39″ AMOLED, pemproses Intel Atom Z34XX. RAM 512 MB dan storan 4 GB. Bateri sebesar 410 mAh mampu memberikan kuasa sehingga 25 jam dengan sekali caj. Ia kali air dan boleh terbenam di dalam air sehingga kedalaman 50 meter. Sensor yang disertakan pula ialah accelerometer, giroskop, mikrofon, pengesan cahaya, GPS dan NFC. Tiada pengimbas nadi disertakan. Sistem operasi Android Wear 2.0 digunakan sekaligus membolehkan ia ditambat kepada peranti Android dan iOS.

Mekanisme jam analog boleh menggantikan komponen pintar dengan pilihan Calibre 5 atau Heuer 02T Tourbillon. Bagi yang berminat mereka boleh melakukan kustomasi seperti Moto Maker di laman TAG Heuer. Terdapat 56 kombinasi gaya boleh dilakukan. Harga jualan TAG Heuer Connected Modular 45 bermula dari $1650 (~RM 7341) seutas.


© 2024 Amanz Media Sdn Bhd