Infinix Zero 4 & Zero 4 Plus Dilancarkan Di Malaysia – Dengan Cip Sepuluh-Teras

Infinix Zero 4 & Zero 4 Plus Dilancarkan Di Malaysia – Dengan Cip Sepuluh-Teras

Diterbitkan pada Mac 15, 2017 oleh .

Pasaran tempatan dibanjiri dengan pelbagai jenama peranti telefon pintar yang membawakan ciri-ciri berlainan. Pada hari ini Infinix telah hadir ke Malaysia dan memperkenalkan Zero 4 dan Zero 4 Plus.

Infinix Zero 4 dan Zero 4 Plus merupakan model flagship dari mereka untuk kemunculan sulung mereta tahun ini. Direka untuk tujuan fotografi, kedua-dua model membawakan penstabil imej optikal pada lensa kamera utama mereka. Ini sekaligus akan menghasilkan gambar yang lebih tajam kerana kurang gegaran yang dihasilkan tangan pengguna. Kedua-dua model juga mempunyai pemfokusan laser bagi memfokus objek rakaman dengan pantas.

Terdapat perbezaan spesifikasi antara dua model Zero 4. Zero 4 Plus merupakan phablet dengan spesifikasi tinggi, dengan cip Helio X20 2.0GHz sepuluh-teras dengan 4GB RAM. Paparannya bersaiz 5.98-inci 1080p dan mempunyai bateri berkapasiti 4,000 mAh.

Infinix Zero 4 Plus yang beroperasi menggunakan Android Marshmallow mempunyai storan 64GB yang boleh ditambah menerusi slot kad Micro-SD sehingga 128GB. Sensor kamera pada model ini juga lebih besar, iaitu kamera utama 21 MP dan kamera hadapan 13 MP.

Bagi Infinix Zero 4, ia hadir pada saiz sederhana dengan paparan bersaiz 5.5-inci 1080p. Cip pemprosesannya menggunakan MediaTek 1.3GHz lapan-teras dengan 3GB RAM. Bagi tujuan storan, ia mempunyai kapasiti storan terbina 32GB.

Infinix Zero 4 beroperasi menggunakan Android Marshmallow dan mempunyai bateri berkapasiti 3,200 mAh. Kamera utama dilengkapi sensor 16MP dan kamera hadapan 8MP.

Menariknya untuk kedua-dua model Zero 4 ini, pihak Infinix turut menawarkan 6 bulan jaminan untuk paparan skrin serta tukaran satu-ke-satu sekiranya terdapat sebarang masalah dalam tempoh 15 hari selepas pembelian.

Infinix Zero 4 akan dijual pada harga RM999 manakala harga Infinix Zero 4 Plus akan diumumkan apabila ia mula dijual seawal bulan April.


TIPS & ULASAN