Samsung Galaxy S8 Akan Menggunakan Sokongan Pengecaman Wajah Untuk Pembayaran

Samsung Galaxy S8 Akan Menggunakan Sokongan Pengecaman Wajah Untuk Pembayaran

Diterbitkan pada Mac 17, 2017.

Samsung Electronics dijangka mengumumkan telefon pintar Galaxy S8 mereka pada penghujung bulan ini, dan pelbagai info mengenainya telah tertiris satu demi satu. Terkini, Samsung Galaxy S8 diketahui akan mengintegrasikan teknologi pengecaman wajah untuk digunakan bagi tujuan pembayaran – sekaligus menawarkan sekuriti yang lebih baik berbanding pesaing seperti iPhone daripada Apple.

Galaxy S8 kelak dikatakan akan menyatukan penggunaan pengimbas cap jari, pengimbas mata, dan pengecaman wajah untuk mengesahkan pengguna sebelum memberikan akses kepada perkhidmatan seperti Samsung Pay. Samsung sedia bekerjasama dengan bank untuk mengintegrasikan sokongan pengecaman wajah dalam beberapa bulan lagi, menurut salah seorang sumber terdekat.

Seperti ramai sedia maklum, kejayaan Galaxy S8 adalah salah satu perkara yang amat penting untuk Samsung dalam mengembalikan reputasi mereka selepas masalah Galaxy Note 7 sebelum ini. Ia juga bakal menjadi pesaing untuk iPhone baru yang dijangka hadir sekitar September kelak, dimana Apple dijangka memperkenalkan peranti ikonik bersempena ulang-tahun ke-10.

Samsung sendiri sebelum ini sedia mengintegrasikan sokongan pengecaman wajah, tetapi ia lebih kepada mengakses peranti sahaja. Galaxy S8 akan menjadi yang pertama untuk menggunakan teknologi berkenaan untuk mengesahkan pembayaran menggunakan aplikasi kewangan.

Disamping itu, Galaxy S8 turut dikatakan bakal hadir dengan skrin sepenuhnya dihadapan, dan tidak lagi menyertakan butang Home. Dengan rekaan seumpamanya, ia bakal menawarkan nisbah skrin yang lebih tinggi. Samsung turut dijangka menggunakan teknologi skrin yang lebih menjimatkan tenaga pada peranti berkenaan.


TIPS & ULASAN