Thermaltake Memperkenalkan Kerangka PC Thermaltake Core P1 Yang Boleh Digantung Pada Dinding

Thermaltake Memperkenalkan Kerangka PC Thermaltake Core P1 Yang Boleh Digantung Pada Dinding

Diterbitkan pada Mac 17, 2017 oleh .

Rekabentuk kerangka komputer menjadi semakin kreatif saban hari. Walaupun rekabentuk tradisional masih menjadi pilihan orang ramai, semakin banyak kerangka atau casis dengan rekaan kreatif, seperti kerangka meja dan sebagainya menular di kalangan peminat pembina PC.

Terkini, Thermaltake baru sahaja memperkenalkan kerangka mini-ITX terbaru mereka: Thermaltake Core P1. Kerangka ini adalah untuk mereka yang mahu membina PC bersaiz kecil, tetapi masih mahu ruang yang cukup untuk pelbagai perkakasan komputer berkuasa tinggi.

Kerangka Core P1 ini boleh memuatkan sebuah papan induk bersaiz mini-ITX, tetapi mempunyai ruang yang cukup untuk anda menggunakan penyejuk CPU pelbagai saiz, termasuklah yang menggunakan kipas sahaja, ataupun penyejuk cecair dengan radiator.

Ia juga mempunyai riser PCIe yang membolehkan anda memasang kad grafik secara menegak. Bekalan kuasa juga mendapat tempatnya sendiri di bawah, danĀ Core P1 ini juga mempunyai lubang-lubang untuk menyorokkan kabel daripada bekalan kuasa ataupun cakera keras.

Ciri yang paling menarik pada kerangka Core P1 ini ialah apabila komputer anda siap dipasang, anda boleh menggantungnya di dinding. Rekaan kerangka yang kecil dan ringan ini memastikan bahawa komputer anda selamat untuk digantung pada dinding tanpa masalah ia terjatuh.

Kerangka Core P1 ini juga menggunakan kaca terbaja, suatu komponen yang sangat popular sekarang ini di kalangan pembuat kerangka komputer. Ianya tiga hingga lima kali lebih keras daripada gelas biasa, dan juga kelihatan sangat cantik apabila dipadankan dengan lampu LED RGB.

Konsep menggantung kerangka komputer di dinding ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi jarang juga kami jumpa kerangka dengan rekabentuk yang kompak dan sederhana ini. Diharapkan adalah kedai komputer di Malaysia yang akan membawa masuk kerangka ini kelak.


TIPS & ULASAN