Intel Memperkenalkan SSD Optane P4800X Untuk Pusat Data – Menggunakan Teknologi 3D XPoint

Intel Memperkenalkan SSD Optane P4800X Untuk Pusat Data – Menggunakan Teknologi 3D XPoint

Diterbitkan pada Mac 20, 2017 oleh .

Intel, dengan kerjasama Micron, sebuah syarikat pembuat cip NAND yang kebiasaannya digunakan untuk storan flash, telah memperkenalkan teknologi storan baru 3D XPoint suatu ketika dulu. Secara teori, ia membolehkan pengguna mendapatkan sebuah peranti storan yang berkali ganda lebih laju daripada SSD yang dijual pada hari ini.

Terkini, nampaknya Intel sudah pun memperkenalkan produk pertama mereka yang menggunakan teknologi 3D XPoint ini. Dinamakan Intel Optane P4800X, perkakasan ini mempunyai storan sebanyak 375GB buat masa ini, dan penggunaannya disasarkan kepada pusat data yang memerlukan storan yang sangat pantas.

Storan Optane P4800X ini menggunakan slot PCIe, dan teknologi penghantaran data NVMe (Non-Volatile Memory Express) yang lebih laju daripada SATA III. Dalam pada itu, storan Optane ini juga masih boleh menjadi lebih laju dengan peredaran teknologi. Jadi ia juga merupakan sebuah peranti yang kalis masa-depan.

Intel mengatakan bahawa storan Optane P4800X ini mempunyai kelajuan read/write sebanyak 2400MB/s dan 2000MB/s. Buat masa ini, Storan Intel Optane P4800X ini hanya hadir dengan jumlah storan sebanyak 375GB, dan akan dijual untuk harga USD$1500. Akan tetapi, menurut Intel, pilihan storan 750GB dan 1.5TB bakal hadir pada pertengahan tahun kelak, untuk harga yang akan diberitahu kelak.


TIPS & ULASAN