Carian
Arena Seterusnya Untuk Apple : Augmented Reality
March 20, 2017 Bloomberg

Sejak menjadi CEO Apple pada 2011 yang lepas, Tim Cook telah bercakap mengenai pelbagai jenis teknologi – termasuk kereta autonomi, kecerdasan buatan, penstriman televisen dan sebagainya. Tetapi tiada teknologi yang menarik minat Tim Cook seperti mana augmented reality.

Augmented Reality membolehkan gambar atau video dipaparkan sebagai tindihan pada dunia nyata. Tim Cook menyukai potensi AR yang boleh membawa pelbagai perubahan untuk telefon pintar. Pada tahun lepas, beliau turut mengatakan kita semua akan “mempunyai pengalaman AR setiap hari, seperti mana kita makan tiga kali sehari. Ia akan menjadi sebahagian daripada hidup kita”.

Pelabur Apple tidak begitu sabar menantikan apakah inovasi seterusnya daripada gergasi berkenaan, dan semestinya gembira dengan fokus Tim Cook terhadap AR. Apple dikatakan ingin membawa teknologi berkenaan kepada lebih ramai pengguna umum – salah satu kaedah dimana Tim Cook lihat untuk mendominasi gajet generasi akan-datang, secara tidak langsung mengikat pengguna dengan ekosistem mereka.

Apple setakat ini telah membangunkan pasukan yang terdiri daripada kepakaran perkakasan dan juga perisian. Jurutera Apple sendiri terdiri daripada pelbagai latar – termasuk daripada Oculus, dan HoloLens. Apple juga telah mengambil-alih firma dan syarikat kecil dengan kepakaran AR, permainan 3D dan juga perisian realiti-maya.

Seperti pernah dilaporkan sebelum ini, Apple sedang membangunkan beberapa produk AR, termasuk salah satunya adalah kaca mata digital yang berhubung ke iPhone – dan memaparkan kandungan seperti filem, peta dan sebagainya. Walaupun kaca mata berkenaan mungkin mengambil tempoh masa yang lama, ciri-ciri AR mungkin hadir ke iPhone dengan lebih pantas.

Seperti biasa, Apple tidak mengeluarkan sebarang komen.

Tim Cook

Augmented Reality masih tidak diketahui ramai berbanding realiti-maya. Realiti-maya kini mendapat perhatian ramai kerana membolehkan pengguna menikmati pengalaman yang baik dalam dunia maya – dan sangat diminati para peminat permainan video. Buat masa ini, peranti seperti Oculus dan HoloLens adalah antara produk untuk realiti-maya – tetapi masih tidak digunakan meluas. Apple percaya AR akan lebih mudah dijual kerana kurang menganggu dan mudah digunakan.

Membangunkan produk AR yang berjaya semestinya bukan sesuatu yang mudah. Buat masa ini, kaca mata AR masih kurang berkuasa, atau biasanya kurang berkuasa atau bersaiz besar. Apple sedia terkenal dengan rekaan nipis dan ringan mereka, akan perlu untuk hadir dengan produk yang kecil dan berkuasa.

Menambah ciri AR pada iPhone bukan sesuatu yang sukar. Tetapi membangunkan kaca mata pintar akan lebih sukar. Seperti mana Apple Watch, ia dijangka akan berhubung ke iPhone. Telefon pintar berkenaan akan membuat pelbagai pemprosesan dan menyiarkan kandungan 3D terus ke kaca mata. Perkara ini semestinya akan menggunakan kuasa bateri yang tinggi – dan Apple perlu memastikan masa bertahan bateri yang lama untuk peranti mereka.

Selain daripada itu, kandungan AR juga adalah sesuatu yang penting. Sekiranya kandungan AR yang ditawarkan oleh Apple adalah kurang, maka kenapa pengguna perlu memakai kaca mata berkenaan? Kaca mata tersebut juga akan memerlukan sistem operasi baru, malah mungkin cip baru. Dan akhir sekali, Apple perlu memastikan mempunyai sumber untuk mengeluarkannya pada kos rendah bagi membolehkan ia digunakan dengan meluas.

Ketika membangunkan Apple Watch, Apple telah mengabungkan pasukan daripada dalam dan luar syarikat. Perkara sama juga sedang dilakukan mereka untuk arena AR ini. Pada 2015 lepas, Apple telah mengambil Mike Rockwell, yang mana sebelumnya mengetuai bahagian perkakasan di Dolby, salah satu syarikat yang terkenal untuk teknologi audio dan video. Rockwell juga ketika itu menasihatkan firma kecil memfokuskan AR, iaitu Meta.

Rockwell kini mengetuai pasukan utama AR di Apple, dan melapor kepada Dan Riccio yang mengetuai pasukan kejuruteraan iPhone dan iPad. Melengkapkan pasukan berkenaan adalah pelbagai jurutera daripada pasukan Apple Watch, selain mereka dengan kepakaran 3D, realiti-maya dan sebagainya.

Selain daripada jurutera, Apple juga agak sibuk mengambil-alih beberapa syarikat untuk mendapatkan kepakaran mereka. Pada 2015, Apple telah mengambil-alih Metaio yang membangunkan perisian AR. Bekas CEO Metaio kini bekerja di Apple dalam menentukan teknologi apa yang patut Apple labur. Pada tahun lepas, Apple telah mengambil-alih FlyBy Media yang mana membangunkan perisian kamera berkaitan AR.

Sejumlah jurutera turut sedang membangunkan ciri AR khusus untuk iPhone. Salah satu ciri yang sedang dibangunkan adalah kebolehan untuk merakamkan gambar dan mengubah fokus kedalaman gambar atau objek pada kemudian masa. Selain itu, satu lagi ciri yang sedang dibangunkan adalah kebolehan menambah kesan maya pada objek atau orang – lebih kurang seperti pada Snapchat. Apple dikatakan mungkin tidak memperkenalkan ciri ini, tetapi ia telah menjadi antara trend baru pada perniagaan telefon.

Pembangunan kaca mata AR adalah masih perlu melalui pelbagai fasa lagi. Apple seperti biasa perlu membuatkan produk berkenaan berjaya. Peranti boleh-pakai masih sukar pada hari ini. Apple Watch sendiri masih gagal mencuri perhatian pengguna ramai. Dan tidak dilupakan adalah Google Glass sendiri yang telah hadir beberapa tahun lepas, dan diam pada masa kini.

Komen